Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kongres Nasional PKR 2015 akan diadakan selama dua hari mulai 28 November ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam dengan bertemakan "Bebas Rakyat, Bebas Anwar".

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata tema tersebut dipilih dengan mengambil kira krisis kepimpinan negara yang menyebabkan rakyat dibelenggu pelbagai dasar dan percukaian yang menekan rakyat.

"Kredibiliti Datuk Seri Najib Razak jatuh menjunam dan telah hilang populariti di kalangan rakyat menyebabkan wujud keperluan mendesak untuk kepimpinan alternatif yang boleh membawa negara keluar dari musibah ini.

"Kepimpinan alternatif paling sesuai dengan keperluan mendesak itu tidak lain dan tidak bukan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata naib presiden PKR itu dalam sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Pandan itu berkata PKR mengambil pendirian bahawa pembebasan rakyat daripada "kepimpinan tempang perdana menteri" berkait rapat dengan pembebasan bekas ketua pembangkang itu.

Pada sidang media itu juga Rafizi turut memperlihatkan logo kongres kali ini yang diilhamkan daripada "seekor kupu-kupu" berwarna-warni yang terbang bebas melambangkan kebebasan dan kepelbagaian dibawa PKR.

Kata Rafizi, kongres kali ini juga ada sedikit kelainan apabila parti itu akan menampilkan empat tokoh besar negara iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah dan seorang bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terbesar akan mengumumkan kemasukannya ke PKR tidak lama lagi.

Menurut Rafizi lagi, perbahasan sepanjang kongres juga dijangka berkisar mengenai krisis kepimpinan pentadbiran Najib.

Dalam kongres tahunan kali ini, Rafizi memberitahu, seramai 1,530 perwakilan dari 218 cabang PKR di seluruh negara akan menghadirinya, selain kira-kira 500 jemputan khas.

Kongres kali ini adalah yang pertama tanpa kehadiran ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang merengkok di penjara.

Lihat Komen
ADS