Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pahang pertimbang beri TOL pada peneroka kecil
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Kerajaan negeri Pahang akan menimbang untuk memberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada peneroka kecil bagi menjalankan aktiviti pertanian di negeri ini termasuk di Cameron Highlands bagi memastikan mereka dapat menyara kehidupan dengan aktiviti itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan berkata kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat di negeri ini dan langkah membantu peneroka kecil itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

"Kerajaan negeri sangat berlembut dan pentadbiran yang dijalankan adalah tidak menganiaya orang. Mereka yang benar-benar mahu menyara hidup, cari makan untuk keluarga mereka...kita biarkan demi kelangsungan hidup mereka.

"Tapi mereka yang teroka tanah haram secara besar-besaran, secara sindiket dan mengambil untung, kita tidak akan kompromi kerana jika kerajaan negeri tidak dapat tangani (isu ini), kerajaan Persekutuan akan masuk.

"Sindiket besar ini jangan nak minta maaf kerana mereka ini yang menyebabkan orang lain susah," katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Adnan berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Wan Kadri Wan Mahusain (BN-Bukit Ibam) yang bertanya jika kerajaan negeri bercadang mengubah dasar dan mengambil tindakan yang lebih tegas untuk menangani penerokaan haram di Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata faktor cuaca dan kenderaan melebihi muatan merupakan faktor yang menyebabkan jalan yang rosak di Cameron Highlands.

"Kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk mendapatkan peruntukan bagi memastikan pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera.

"Permohonan untuk membaiki Jalan Brinchang-Blue Valley (FT59) telah dimohon sebanyak dua kali iaitu dari Sek.60-85 dengan kos sebanyak RM9.57 juta pada 27 Februari 2015 dan dari Sek.69-83 dengan kos sebanyak RM6.13 juta pada 22 April 2015," katanya.

Mohd Soffi berkata demikian semasa menjawab soalan Leng Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang bertanya sama ada kerajaan negeri sedar bahawa jalan di Cameron Highlands rosak teruk sehingga boleh menjejaskan imej kerajaan dalam memperomosikan pelancongan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS