Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam: Ada cara Muhyiddin berucap di AGM Umno
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 12:56 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Tan Sri Zainuddin Maidin yakin Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan ucapannya kepada tiga sayap parti itu pada Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

"Walaupun disekat dari merasmikan serentak tiga sayap Umno iaitu Wanita, Puteri dan Pemuda di Perhimpunan Agung Umno Disember ini tetapi Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin akan mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan ucapannya kepada mereka bagi meneruskan tradisi zaman berzaman.

"Bagaimanapun Muhyiddin tidak mahu memberitahu saya bagaimanakah cara beliau hendak menyampaikan ucapannya, yang tentunya akan lebih menarik perhatian umum," kata beliau dalam blognya semalam.

Bekas menteri penerangan itu berkata sebelum ini beliau ada membangkitkan kemungkinan wujud sekatan sewaktu bertemu Muhyiddin di kafenya di Putrajaya baru-baru ini.

Zainuddin yang juga mesra dengan panggilan Zam mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno semalam yang memutuskan bahawa timbalan presiden Umno kali ini tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan bagi ketiga-tiga sayap parti itu seperti kelaziman setiap tahun.

Sebaliknya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata Majlis Tertinggi bersetuju bahawa ketua pergerakan masing-masing akan merasmikan perhimpunan agung mereka "atas hasrat mereka sendiri".

Mengulas lanjut, Zam menyifatkan alasan tersebut tidak dipercayai oleh ahli parti itu dan orang ramai sebaliknya mendakwa ia adalah hasrat Najib yang "takut dan gementar untuk hadapi ucapan Muhyiddin".

Malah, Zainuddin berkata halangan terhadap Muhyiddin juga boleh menambahkan simpati, populariti dan mengangkat maruah bekas timbalan perdana menterti itu sekaligus mengakis kewibawaan Najib sebagai presiden parti.

"Pertanyaan popular ialah kenapa Najib mahu menutup mulut timbalan presiden untuk menyempurnakan amalan tradisi zaman berzaman yang tidak melanggar perlembagaan parti.

"Muhyiddin tentunya akan menggunakan pentas yang sangat penting itu untuk mendedahkan segala-galanya.

"Beliau sedar bahawa ucapannya sedang ditunggu oleh rakyat di seluruh negara," tulis Zam dalam blognya itu.

Sehubungan itu, Zainuddin menggesa ketua Wanita, Pemuda dan Puteri supaya tidak membisu sebaliknya mengesahkan dakwaan Naib bahawa mereka sendiri yang mahu memecahkan tradisi dalam parti itu.

Lihat Komen
ADS