Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Diamkan Muhyiddin? KJ kata 'tidak', Zahid ketawa kecil

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan terdapat cubaan untuk mendiamkan mana-mana individu semasa Perhimpunan Agung Umno yang bakal diadakan bulan depan.

Beliau mengulas sama ada keputusan Majlis Tertinggi bahawa ketua pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri sebagai usaha untuk 'menutup mulut' timbalan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini tidak ada apa-apa hasrat atau niat untuk mendiamkan sesiapa. Cuma kita rasa bahawa tahun ini lebih sesuai perasmian di peringkat sayap (oleh ketua pergerakan masing-masing), itu sahaja," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi, yang juga hadir dalam sidang media itu, bila ditanya soalan yang sama, beliau berkata tiada niat untuk berbuat demikian.

"Mungkin mereka ada niat, tapi saya tidak fikir begitu," katanya yang ketawa kecil.

Khairy menjelaskan bahawa permintaan untuk merasmikan persidangan sayap Umno itu datang daripada beliau sendiri termasuk ketua Wanita dan Puteri.

"Perasmian tidaklah jadi sesuatu perkara yang tertulis dalam perlembagaan (parti), ataupun peraturan mesyuarat.

"Ia hanya satu konvensyen. Jadi untuk tahun ini, kita minta perasmian oleh ketua-ketua sayap sendiri," katanya.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa parti memecah tradisi apabila membenarkan ketua sayap masing-masing merasmikan persidangan agung mereka.

Lazimnya, timbalan presiden Umno yang merasmikan persidangan agung sayap Umno itu.

Perhimpunan Agung Umno akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 8 hingga 12 Disember ini.

Lihat Komen
ADS