Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno buat pusingan ‘U’, media terpilih boleh buat liputan
Diterbitkan:  Nov 26, 2015 2:13 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Umno hari ini membuat pusingan ‘U’ dengan setiausaha agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan Perhimpunan Agung Umno bulan depan bebas daripada sebarang sekatan liputan media.

Semalam, Tengku Adnan berkata liputan media akan dihadkan kerana portal berita dalam talian mempunyai kecenderungan untuk memutar-belitkan berita.

"Kerana laman-laman web dalam talian suka putar-belit..," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara itu.

Mengenai sama ada sekatan juga akan dikenakan semasa ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata: "Kami masih pertimbangkan sama ada untuk benarkannya (liputan) atau sebaliknya. Begitu juga dengan ucapan penggulungan.

“Kita tidak benarkan media berlegar merata-rata. Kita tidak akan pancar apa yang berlaku di dalam Dewan Merdeka kepada televisyen litar seperti sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Adnan menukar nadanya hari ini dengan berkata Umno membenarkan media membuat liputan pada perhimpunan yang bermula 8 Disember ini termasuk perbahasan perwakilan tanpa sebarang sekatan.

“Kita terima banyak maklum balas di seluruh negara. Kita dengar pendapat mereka dan buat keputusan untuk benarkan media membuat liputan seperti biasa," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online .

Tengku Adnan juga dilaporkan berkata, ada beberapa media tertentu termasuk yang dihalang masuk ke PWTC sempena perhimpunan pada tahun lalu akan disekat dan ada yang akan dikenakan syarat lebih ketat.

"Liputan media berjalan seperti biasa. Cuma kita tidak mahu ada media yang putar belit fakta dan laporan. Perbuatan mereka itu akan membuatkan ada pihak yang terasa hati dan sensitif dengan laporan mereka,” katanya.

Sejak lima tahun lalu, Malaysiakini adalah antara media yang dilarang menghadiri perhimpunan itu.

Sementara itu Bernama melaporkan mengenai ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden seperti kelaziman pada perhimpunan agung itu, Tengku Adnan berkata ia masih belum diputuskan sama ada dilakukan atau tidak.

Secara tradisinya, sebelum proses penggulungan persidangan oleh presiden parti, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan proses penggulungan sudah cukup dengan ucapan presiden sahaja.

"Sebenarnya pengulungan presiden berucap seorang dah cukup dah, pada pandangan saya, kerana presiden boleh diamanahkan untuk mengulungkan kesemuanya, tidak perlu yang lain," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2015 dijadual berlangsung pada 8 hingga 12 Disember.

Tahun ini juga akan menyaksikan buat julung kali Timbalan Presiden UMNO tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Berhubung isu pemecatan Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman daripada keahlian dan jawatannya, Tengku Adnan mendakwa keputusan itu dibuat ekoran Hamidah didapati hadir di pentas pembangkang.

"Kita dapat maklum balas bahawa dia duduk di pentas pembangkang, dan apabila ahli parti duduk di pentas pembangkang kita kena ambil tindakan.

"Dia boleh rayu kalau nak rayu, walaupun kita sudah pecat dia, dia tetap boleh rayu," katanya.

Lihat Komen
ADS