Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya mereka disiasat mengikut Akta Hasutan.

MP Sungai Siput Dr Micheal Jeyakumar Devaraj berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan didakwa menghina sistem kehakiman negara berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan Oktober lalu.

"Pengendalian isu menangani perselisihan faham antara pelabur asing dan kerajaan oleh Mustapa dan pasukan perundingnya memberi gambaran seolah-olah MITI sendiri mengatakan sistem kehakiman Malaysia kurang kompeten sehingga ia tidak boleh dipercayai untuk mengendalikan kes yang dikemukakan oleh pelabur asing.

"Ini merupakan satu penghinaan terhadap sistem kehakiman mahkamah kita," kata Jeyakumar selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul kira-kira jam 11 pagi ini.

Dr Jeyakumar turut membangkitkan tindakan terhadap aktivis PSM, Arulchelvan yang didakwa bawah Akta Hasutan kerana mempersoal penghakiman kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tak adil.

Oleh itu, katanya, tindakan yang sama terhadap pemimpin itu boleh dibuat kerana menjejaskan kedaulatan negara dan menyifatkan kenyataan menteri itu "lebih teruk".

"Jika mereka dakwa Arul di bawah Akta Hasutan, menteri juga perlu didakwa bawah akta yang sama.

"Arul hanya komen satu kes tetapi ini semua kes yang investors bahawa kehakiman kita tak ada standard untuk mengadilinya. Ini lebih teruk," kata Jeyakumar.

Justeru, Jeyakumar mahu polis menyiasat kedua-dua pemimpin itu kerana didakwa menghina sistem kehakiman negara dan menyebabkan pelabur serta rakyat tidak percaya kepada sistem kehakiman negara lagi.

"Jadi, menteri perlu disiasat dan perdana menteri juga perlu disiasat sebab Najib berada di belakang dan menyokong. Kita mahu kedua-dua mereka disiasat kerana menghina sistem kehakiman kita.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencadangkan bahawa aduan pelabur mesti dibawa ke mahkamah di Malaysia terlebih dahulu demi menjaga sistem kehakiman negara.

"Hanya jika pendengaran kes tertangguh lebih daripada tempoh masa munasabah ataupun keputusan mahkamah dianggap berat sebelah barulah diberi peluang kepada pelabur untuk bawa ke Tribunal Antarabangsa.

"Tribunal Antarabangsa harus dianggotai oleh hakim berpengalaman daripada tiga buah negara yang juga menyertai perjanjian TPPA," kata Jeyakumar.

Lihat Komen
ADS