Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pintu terbuka asalkan bayar sewa, kata Dewan Cina

Minggu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluh kerana sukar mendapatkan dewan di mana beliau boleh berucap kepada hadirinnya kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

Ini mendorong portal pro-Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mykmu.net mempersendakan bekas perdana menteri itu dengan mencadangkan kepadanya supaya merujuk jika Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor - KLSCAH masih kosong.

Mengulas perkara itu, KLSCAH kata Mahathir amat dialu-alukan untuk menggunakan dewan untuk berucap kepada ahli-ahli Umno atau bagi mengadakan persidangan media.

"Beliau (Mahathir) dialu-alukan untuk menyewa dewan jika mahu. Beliau boleh adakan sidang akhbar atau beri ucapan.

"Saya tak fikir beliau mahu tetapi kita tidak ada masalah membenarkannya menyewa dewan," kata Setiausaha Agung KLSCAH, Ser Choon Ing ( atas, kiri ) kepada Malaysiakini .

Ser langsung tidak menyimpan sebarang dendam dengan Mahathir, memandangkan semasa beliau menerajui negara, Pemuda Umno ketika itu yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengancam untuk membakar bangunan itu pada tahun 2000.

Ser ketika itu adalah setiausaha Suqiu, atau Pertubuhan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Cina yang dilabelkan sebagai komunis dan pelampau oleh Mahathir berhubung 17 tuntutan menjelang pilihan raya umum 1999.

Abdul Aziz mengancam untuk membakar bangunan itu jika permohonan maaf tidak diberikan berhubung tuntuatan Suqiu yang disokong oleh 2,000 pertubuhan Cina.

Dalam tulisan di blog, minggu lalu, Mahathir berkata dewan di mana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh beliau tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

“Saya tidak akan bertanding untuk apa-apa jawatan.

“Tetapi usaha gigih sedang dijalan untuk menutup mulut saya, untuk menyekat saya dari berjumpa dengan ahli Umno, bahkan orang ramai,” katanya.

KLSCAH ditubuhkan pada tahun 1934 dan berkembang dari sebuah pusat untuk menyatukan kaum-kaum Cina yang berbeza kini dibuka kepada semua kaum untuk mengadakan wacana politik dan budaya masing-masing.

Ditanya sama ada pemimpin-pemimpin Umno yang tidak puas hati boleh menggunakan dewan berkenaan, Ser berkata KLSCAH terbuka kepada sesiapa sahaja yang memerlukan ruang.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan sesiapa. Selagi mereka bayar sewa ... Sudah tentu mereka perlu bayar sewa," katanya.

Lihat Komen
ADS