Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pecat Hamidah bercanggah semangat perlembagaan Umno
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 10:59 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan untuk memecat Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng datuk Hamidah Osman adalah bercanggah dengan semangat perlembagaan parti.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Majlis Tertinggi Umno, Selasa lalu yang memecat Hamidah seperti yang diumumkan oleh presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

“Jika benar dakwaan Hamidah bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat perlembagaan Umno.

“Selain itu, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 perlembagaan Umno juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau telah melakukan satu kesalahan besar yang melanggar perlembagaan parti dan Tataetika Ahli Umno,” katanya dalam satu kenyataan media, lewat petang tadi.

Muhyiddin berkata ada hujah bahawa Majlis Tertinggi Umno boleh memecat ahli tanpa perlu di hadapkan ke Lembaga Disiplin sepertimana yang berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

“(Orang-orang) ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti,” katanya.

Kehilangan penyokong

Muhyiddin berkata, selaku pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan Umno pada waktu itu, beliau telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan.

Ini, katanya, bagi memastikan Lembaga Disiplin itu tidak berat sebelah, adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan ke atas mereka.

Selepas pemecatannya, Hamidah, mendedahkan bahawa beliau diberikan surat tunjuk sebab kerana hadir menyambut kepulangan bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dari luar negara.

Mahathir alah pengkritik paling lantang Najib dan telah berikrar untuk menumbangkannya sebagai perdana menteri.

Muhyiddin juga mempersoalkan alasan yang diberikan untuk memecat Hamidah.

“Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden Umno yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin dan ahli parti yang lain, adalah satu kesalahan disiplin?

“Jika ia adalah satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli Umno yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah Umno sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong,” katanya.

Hamidah sebelum ini dikatakan adalah seorang daripada tujuh pemimpin dalam senarai hitam Umno.

Juga dipercayai berada dalam senarai berkenaan adalah diri Muhyiddin sendiri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak menghadiri mesyuarat Selasa lalu selamat daripada sebarang tindakan.

Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada kerajaan pada bulan Julai lalu kerana pendirian kritikal mereka terhadap cara Najib mengendalikan isu 1MDB.

Lihat Komen
ADS