Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 lelaki menyamar pegawai JAIS samun pasangan kekasih
Diterbitkan:  Nov 30, 2015 6:15 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Polis menahan dua lelaki tempatan kerana menyamar sebagai pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyamun sepasang kekasih dalam kejadian di Seksyen 18 di Shah Alam awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kedua-dua suspek berumur 32 dan 33 tahun ditahan selepas mengugut pasangan kekasih itu untuk membayar sejumlah wang kononnya bagi mengelak daripada ditahan atas kesalahan khalwat.

Beliau berkata dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, seorang lelaki berumur 30 tahun dan pasangannya berumur 21 tahun yang berada di dalam sebuah kereta, didatangi kedua-dua suspek menaiki dua motosikal dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai JAIS.

"Suspek kemudian bertindak 'menahan' pasangan kekasih itu kononnya atas kesalahan khalwat dan mereka diberitahu akan dibawa ke balai polis berhampiran bagi siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Shafien berkata pasangan kekasih itu diminta membayar sejumlah wang sekiranya mereka tidak mahu ditahan.

Pasangan itu kemudiannya dibawa ke sebuah bank di Seksyen 18 sebelum mangsa wanita menyerahkan RM5,000 kepada suspek terbabit, manakala teman lelakinya hanya membayar RM1,500 sahaja.

"Suspek yang tidak berpuas hati dengan wang RM1,500 itu kemudian bertengkar dengan lelaki itu sebelum mangsa wanita menjerit meminta pertolongan," katanya.

Shafien berkata anggota polis yang kebetulan meronda kawasan itu bertindak menahan kedua-dua suspek, selain menjumpai beberapa peralatan pecah rumah di dalam beg suspek.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai kontraktor dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS