Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Americk kata dia tak tahu kandungan pen drive Kevin Morais

Peguam Americk Sidhu berkata beliau tidak tahu apa yang terkandung di dalam pen drive yang dimiliki oleh anak guamnya Charles Suresh Morais, yang didakwa Charles mengandungi maklumat membabitkan individu-individu berprofil tinggi.

Dalam akuan bersumpah (SD) yang dibuat pada 25 November lalu, Charles mendakwa abangnya, Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais yang mati dibunuh, telah menghantarnya sebuah pen drive.

Pihak polis dijadualkan menyoal-siasat Americk hari ini kerana pembabitannya dalam merangka SD itu.

Peguam itu mendedahkan Charles mendapatkan khidmatnya pada bulan September lalu selepas Kevin dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengetahui apa-apa rancangan untuk membuat SD sehingga 24 November, sehari selepas Richard Dilaan Morais - adik bongsu Charles dan Kevin - menuntut jasad Kevin dari rumah mayat.

Tindakan itu menggagalkan hasrat Charles yang merancang untuk mengadakan bedah siasat kedua ke atas jasad Kevin, selepas beliau melahirkan rasa tidak puas hati berhubung keputusan laporan bedah siasat pertama.

"Beliau (Charles) yang buat pengakuan (SD) selepas jasad Kevin dituntut. Sebelum itu, beliau tidak buat apa-apa SD.

"Beliau begitu berang bahawa selepas berada di sini (di Malaysia) selama dua bulan - berusaha untuk mengadakan bedah siasat kedua - dan kemudian adiknya hanya ‘mencuri’ dan mengambil jasad itu, sedangkan adiknya itu tahu apa yang berlaku.

"Jadi itulah sebabnya Charles sangat marah," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Kevin ditemui mati dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor pada 16 September lalu.

Enam lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh DPP itu pada 28 September manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan jenayah berkenaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mereka adalah G Gunasekaran, 47, R Dinishwaran, 23, A Thinesh Kumar, 22, M Vishwanath, 25, S Nimalan, 22, dan S Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, Selangor.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 302 kanun sama.ditemui mati dalam drum bersimen itu pada September 16.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS