Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas Raja Kechil Besar Perak fail permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap AG
Diterbitkan:  Dec 3, 2015 5:48 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Raja Datuk Seri Izzuddin Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap keputusan tidak membenarkannya memulakan tuntutan di Mahkamah Khas berhubung pembatalan pelucutan gelarannya sebagai Raja Kechil Besar Perak.

Raja Izzuddin, 62, selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 9 Oktober lepas menerusi Tetuan Mohamad Sofee Razak & Co. dengan menamakan Peguam Negara sebagai responden.

Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini melalui peguam Mohamad Sofee yang mewakili Raja Izzuddin ketika kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad.

Mohamad Sofee ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan pada 18 Februari tahun depan untuk mendengar permohonan Raja Izzuddin itu.

Dalam permohonan itu, Raja Izzuddin memohon satu perintah untuk membatalkan dan mengetepikan keputusan Peguam Negara yang menolak permohonan kebenaran untuk memulakan tuntutan di Mahkamah Khas, berkenaan Penyerahan Hak Dan Kedudukan Kekananan (Senioriti) Raja-Raja Bergelar Kerajaan Negeri Perak terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Raja Izzuddin berkata permohonannya itu adalah selaras dengan Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan dan beliau juga menuntut kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Putera raja itu mendakwa beliau adalah pewaris takhta Negeri Perak yang sah menurut Perlembagaan di bawah peruntukan Fasal VII (1), Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Perak (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan).

Menurut afidavit yang dikemukakan, Raja Izzuddin berkata beliau telah bebas daripada status kebankrapan yang menyekatnya daripada memegang jawatan Kekananan bagi kedudukan Raja-Raja Bergelar sebagai pewaris takhta Negeri Perak mengikut turutan sebagaimana sepatutnya menurut Perintah Pembatalan Kebankrapan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak bertarikh 19 Disember 2014.

Raja Izzuddin berkata haknya disekat akibat Perintah Penerimaan dan Penghukuman bertarikh 27 Mac 1990 iaitu Perintah Kebankrapan yang membawa kepada perlucutan jawatan beliau ketika itu, sebagai Raja Kechil Besar Perak.

Katanya, perlucutan jawatan itu berkuat kuasa 29 November 2006 selepas Dewan Negara Khas bersidang pada 26 November 2006 dan perlucutan jawatan itu adalah mengikut Fasal LIV (1) (d) Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Perak di mana pemecatan disebabkan status kebankrapan dan status kebankrapan yang belum dilepaskan.

Raja Izzuddin berkata beliau telah menghantar lima notis bertarikh 9 dan 14 Jan, 20 April, 12 dan 22 Mei lepas kepada Sultan Nazrin bagi memaklumkan bahawa Perintah Pembatalan Kebankrapan telah dikeluarkan terhadapnya.

Namun, Raja Izzuddin berkata permohonannya sebulat suara telah ditolak ketika Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-63 yang bersidang pada 1 April lepas.

Katanya, melalui Perintah Pembatalan Kebankrapan itu membolehkan jawatan bagi Raja-Raja Bergelar yang sebelum ini telah dipecat dan dilucutkan perlu dikaji semula dan diserah hak kepadanya selaku pewaris takhta Negeri Perak yang sah.

Raja Izzuddin berkata berikutan keputusan itu beliau melalui notis bertarikh 24 Jun lepas, telah memohon kebenaran daripada Peguam Negara untuk memulakan tuntutannya di Mahkamah Khas tetapi ditolak melalui notis bertarikh 14 Julai lepas dengan alasan permohonan itu tidak termasuk dalam Peruntukan Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut.

"Perkara tersebut adalah kuasa prerogatif diraja oleh Sultan Perak yang tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS