Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tak boleh asyik bangkang - Nik Abduh
Diterbitkan:  Dec 23, 2015 12:12 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Ketua Pemuda PAS, Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa sebagai pembangkang parti Islam itu tidak boleh asyik membangkang sahaja.

Sebaliknya, kata beliau jika Umno membuat perkara yang baik PAS seharusnya menyokong usaha tersebut.

Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 'tali silaturahim' yang dihulurkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika Umno buat benda yang baik, PAS akan sokong. Sebagai pembangkang, PAS tidak boleh asyik nak bangkang perkara baik yang dibuat oleh Umno dan itu bukan politik sihat.

“Begitu juga dengan Umno, jika PAS atau parti pembangkang lain membuat kebaikan, mereka perlu buat perkara yang sama iaitu tidak menyekat. Inilah yang kita mahukan iaitu berpolitik secara matang,” kata Nik Abduh yang dipetik Sinar Harian .

Bagaimanapun, ahli parlimen Pasir Mas itu berkata ia bukanlah membawa maksud PAS akan bersatu dengan Umno seperti mana yang diingingkan ramai pihak.

Sebaliknya, tegas Nik Abduh ia hanyalah kerjasama politik.

"Ini bukan penyatuan tetapi hanyalah kerjasama," katanya yang dipetik akhbar itu.

Nik Abduh berkata, PAS akan tetap kekal sebagai pembangkang, manakala Umno terus kekal sebagai pemerintah.

Minggu lalu, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, yang julung kali diadakan di ibunegara merintis jalan ke arah penyatuan dua parti Islam terbesar, iaitu PAS dan Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya menghulurkan "tali silaturahim" kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula pada ucaptamanya, berharap umat Islam di negara ini tidak menjadi seperti di Timur Tengah yang kini berperang sesama sendiri kerana perbezaan ideologi.

Lihat Komen
ADS