Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah Perhilitan Johor ditahan kes sumbu badak
Diterbitkan:  Dec 26, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Disyaki mencuri sumbu badak berusia 100 tahun milik Muzium Diraja Johor, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri itu ditahan malam tadi.

Suspek berusia 46 didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan di Johor Bahru, kira-kira jam 2.30 petang pada 19 Oktober lalu, lapor Berita Harian .

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilaporkan berkata suspek menyerah diri di ibu pejabat polis daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira jam 9 malam tadi.

Najmuddin berkata, pekerja muzium tersebut menyedari kehilangan sumbu badak itu selepas mendapati barangan terbabit yang dijemur di hadapan bangunan hilang pada kira-kira jam 2.30 petang.

"Hasil siasatan dan penelitian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan pada hari kejadian mendapati barangan berkenaan diambil oleh suspek.

"Ketika kejadian, suspek dikatakan baharu selesai menghadiri mesyuarat bersama beberapa agensi lain di bangunan berkenaan, dan dipercayai ketika mahu pulang dia berbuat demikian dengan memasukkan sumbu badak itu ke dalam keretanya," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Jelas Najmuddin lagi, sumbu itu diserahkan suspek menerusi pemandunya kepada pihak pengurusan muzium dua hari selepas kejadian pada jam 8.15 pagi dengan keadaan baik.

"Pada mulanya suspek tidak mengaku mengambil barangan berkenaan, bagaimanapun rakaman wajah suspek dalam CCTV mengukuhkan lagi bukti siasatan polis, dan malam tadi suspek menyerah diri di IPD JBS," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sumbu itu disimpan suspek selama dua hari di pejabatnya dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Lihat Komen
ADS