Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai usaha terakhir menghalang kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, sekumpulan NGO akan mengadakan Demontrasi Rakyat Bantah TPPA pada 23 Januari depan.

Demonstrasi yang diketuai NGO Bantah TPPA dengan kerjasama Kongres Rakyat serta mendapat sokongan lebih 200 badan bukan kerajaan sedia ada.

Menurut Timbalan Bantah TPPA, Azlan Awang demonstrasi itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sekitar jam 2.00 petang.

Bagaimanapun, Azlan tidak menjelaskan sama ada demonstrasi tersebut sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa ataupun tidak.

"Kami merancang untuk mengadakan sebuah demonstrasi aman pada 23 Januari ini dan kami harap rakyat akan bersama dengan kami untuk menyuarakan tentangan terhadap TPPA sebelum ia dibahaskan di Parlimen," kata Azlan pada sidang media Bantah TPPA, di Kuala Lumpur.

Malah, menurut Azlan pihaknya juga akan mengadakan Sidang Kemuncak TPPA 2016 bagi membincangkan hasrat kerajaan dalam menandatangani Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik.

Sidang Kemuncak TPPA yang akan berlangsung pada 9 Januari depan ini juga akan mempertemukan PAS dan AMANAH.

"Sidang Kemuncak ini, masyarakat sivil akan mengesahkan bahawa penolakan mereka terhadap TPPA bukan kerana perbezaan politik remeh, sifat prejudis atau sentimen anti-perdagangan.

"Tetapi kerana ia tidak berpaksi kepada Perlembagaan dan sebenarnya akan melemahkan demokrasi negara, menghakis kedaulatan serta meningkatkan kawalan korporat asing dalam kehidupan seharian rakyat," kata Azlan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berkata parti Islam itu akan mengarahkan anggotanya untuk menyertai demonstrasi tersebut.

Zuhdi berkata ini kerana perjanjian tersebut bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi negara sebaliknya jiwa rakyat Malaysia.

"Muktamar PAS konsisten PAS tolak perjanjian TPPA, sebagaimana dinyatakan dengan pihak yang lain. Ia beri kesan buruk bukan sahaja kepada negara tetapi (beri) kesan kepada ekonomi.

"Laut China Selatan (dijadikan) sebagai taruhan. Dengan menandatangani TPPA ini, ia kaan timbulkan persaingan bermula dari ekonomi dan menjurus persaingan ketenteraan yang sekarang ini pun dah berlaku antara China dan Amerika di wilayah Laut China Selatan," tambah Zuhdi yang hadir mewakili PAS.

Antara NGO yang sudah mengesahkan kehadiran mereke ke dua acara Bantah TPPA ini selain PAS dan AMANAH adalah ISMA, GAMIS, IKRAM, PSM dan Gerakan 153.

TPPA pada asalnya merupakan perjanjian perdagangan yang bermula di 2001 antara New Zealand dan Singapura, dan kini berkembang melibatkan 12 negara.

Amerika Syarikat (AS) memasuki rundingan TPP pada 2008 selepas perjanjian P4 tercapai antara Chile, Brunei, New Zealand dan Singapura pada 2006.

Kemasukan AS menjadi tarikan kepada negara lain seperti Australia, Vietnam dan Peru menyertai meja rundingan pada tahun berikutnya.

Meskipun pada awalnya ia cuma satu perjanjian perdagangan, kini TPPA meliputi hak pekerja, alam sekitar, perlindungan harta intelek, kastam, e-perdagangan dan juga pelaburan.

Lihat Komen
ADS