Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Omar: 'Ambo' rai satu sama lain
Diterbitkan:  Jan 2, 2016 11:58 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Salah seorang anak allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH) masih enggan berterus-terang berkaitan status sebenar beliau.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Nik Omar kelihatan masih mahu meneruskan teka-teki berkaitan parti pilihannya dan tidak menjawab secara langsung.

Ditanya sama ada beliau benar menyertai AMANAH atau tidak, Nik Omar ( gambar ) hanya menjawab lebih suka membawa gagasan penyatuan dan meraikan satu sama lain.

“Ambo (saya) lebih suka bawa gagasan ummah wahidah (kesatuan umat) dalam situasi sekarang.

“Masing-masing bawa pendekatan dengan meraikan satu sama lain,” jawabnya melalui pesanan bertulis kepada Malaysiakini .

Dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya malam tadi, Pengarah Komunikasi AMANAH Kelantan Nordin Hussin mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan.

Nik Omar tidak hadir dalam majlis tersebut.

Ketika ditemui Malaysiakini selepas itu, Nordin menafikan menyebut penyertaan Nik Omar dalam AMANAH dan berkata mungkin wartawan tersalah dengar.

Bagaimanapun, seorang pemimpin AMANAH Kelantan yang ditemui Malaysiakini mengesahkan anak lelaki sulung bekas menteri besar Kelantan itu telah menyertai parti berkenaan.

Sumber bagaimanapun berkata Nik Omar buat masa ini tidak akan hadir ke majlis terbuka bagi menghormati permintaan ibunya dan anggota keluarga lain.

Nik Omar anak kedua daripada sepuluh adik-beradik.

Adik kelimanya Nik Abduh ( gambar ) juga aktif dalam PAS sebagai ketua pemuda dan anggota parlimen Pasir Mas.

Lihat Komen
ADS