Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ayah bela semua sultan, tapi Melaka saja bagi pingat'

Popular dengan gelaran "Raja Repot", insan bernama Abdul Rani Kulup Abdullah begitu berbesar hati dengan pengiktirafan 'sultan Melaka', Raja Noor Jan Shah Tuah, padanya baru-baru ini.

Raja Noor, yang mengakui dirinya sultan Melaka, memberi gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka dengan gelaran Datuk Paduka kepada Rani, dalam acara di sebuah tempat Isnin lalu.

Anugerah itu diterimanya dalam satu majlis "sambutan hari keputeraan Sultan Melaka Darul Islam ke-58", menurut Rani yang popular dengan slogan “kipidap” itu.

Sebagai Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Rani berkata, beliau mempertahankan semua raja-raja Melayu.

Bagaimanapun, menurut Rani, dia tidak menyangka hanya dengan satu laporan polis yang dibuat demi maruah 'sultan Melaka' itu mendapat perhatian Raja Noor Jan ( gambar ).

"Ayah terkejut. Tak sangkalah dengan satu repot pada tahun 2012 lalu beliau berikan ayah anugerah ini. Pastinya saya perlu berterima kasih dengan keprihatinan beliau dan menghargai jasa ayah.

"Ayah buat repot pelbagai isu lain termasuk melibatkan penghinaan kepada sultan Selangor, Johor, Perak dan Kedah. Tapi hanya beliau saja yang beri anugerah," katanya yang sering memperkenalkan dirinya sebagai “Ayah Arka”.

Ditanya mengenai pertikaian gelaran itu tidak sah disebabkan diberikan oleh sultan yang tidak diiktiraf, Abdul Rani hanya memberi jawapan mudah.

"Kalau mereka cakap sultan melaka tidak sah, suruhlah sultan lain beri anugerah kepada ayah.

“Banyak jasa saya kepada sultan lain termasuk menjaga pengorbanan kepada bangsa, negara dan agama Islam," katanya kepada Malaysiakini .

Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ( gambar ) dilaporkan berkata orang seperti Raja Noor Jan adalah orang gila atau hidup dalam alamnya sendiri.

Rani bagaimanapun berkata tidak sepatutnya melabelkan seseorang sebagai gila atau tidak waras kerana setiap masalah boleh dibawa berbincang.

“Bukan main tuduh sesuka hati. Kenyataan seperti itu melambangkan orang itu tiada kredibiliti. Ia boleh mengecewakan orang lain, seperti pemimpin kita yang buat kenyataan bodoh.

"Ayam mahal (suruh) jangan makan ayam, yang mahu bayar tol bangun pagi-pagi pergi kerja guna jalan alternatif. Apa punya bangang orang macam itu, mengecewakan rakyat," katanya.

Tak perlu beri wang

Menceritakan anugerah yang diterimanya, Rani berkata, beliau tidak perlu memberi wang ringgit kepada Raja Noorjan seperti mana yang diamalkan oleh sesetengah pihak lain.

Malah katanya, selain gelaran beliau juga menerima sebilah keris dan sepersalinan baju daripada individu tersebut.

"Alhamdulillah saya gembira dengan pemberian tersebut, di samping satu hadiah istimewa iaitu pingat penganugerahan. Beliau juga begitu menghargai pengorbanan saya sepanjang 22 tahun dalam pasukan tentera tanah air.

Kipidap ," katanya.

Raja Noor Jan pertama kali mengisytiharkan dirinya sebagai pewaris kesultanan Melaka yang sah pada tahun 2005.

Tahun lalu, Noor Jan pernah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Perak juga pernah ditahan ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar, Melaka dipercayai menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali "kesultanan Melayu Melaka".

Lihat Komen
ADS