Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Syura ulangi PAS tak akan sertai BN
Diterbitkan:  Jan 6, 2016 10:50 AM
Dikemaskini: 6:07 AM

PAS menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai BN tetapi akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.

Keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Ulamak PAS dalam mesyuarat Sabtu lalu di tengah-tengah kontroversi kerjasama antara Umno dan PAS.

"Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional," kata setiausahanya, Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh.

"Kami bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya," katanya.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kerjasama dengan Umno hanya dalam perkara yang menyentuh soal kebaikan Islam.

"Bagi PAS, jika kami dijemput Umno untuk sampaikan mesej, kami akan hadir.

"Dalam mesyuarat (Majlis Syura) itu, turut dibincangkan, kita tidak boleh kerjasama (dengan Umno) dalam perkara melibatkan dosa dan melanggar syarak," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Isu mengenai kerjasama antara PAS dan Umno berlarutan sejak sekian lama dan timbul semula kebelakangan ini.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan pertemuan antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam majlis Multaqa Almuni Al Azhar bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja dilihat mesra, bahkan tampil berpakaian sedondon dengan baju Melayu merah jambu.

Najib juga sebelum itu menawarkan kerjasama dengan PAS bagi membentuk hubungan yang lebih rapat semasa berlangsung Perhimpunan Agung Umno ke 69.

Berita penuh menyusul.

Lihat Komen
ADS