Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada penutupan lombong bauksit tapi pemberhentian sementara
Diterbitkan:  Jan 6, 2016 7:18 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Kerajaan memutuskan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri yang terlibat, dalam tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat aktiviti berkenaan.

Langkah berkenaan melibatkan pengosongan stok simpanan bauksit, mewujudkan sebuah kawasan simpanan bersepadu dan sistem pembersihan sisa bauksit.

"Bermula 15 Januari ini, semua (perlombongan bauksit) dihentikan sementara di Kuantan. Tak ada pergerakan sebab kita nak minta 11 pemilik stok simpanan bauksit buat pembersihan di setiap tempat simpanan bauksit. Begitu juga dekat pelabuhan, mesti keluarkan semua (stok simpanan) bauksit kerana kita tak benarkan lambakan bauksit di sana yang akan mengalir ke laut.

"Semua stok simpanan (11 pusat stok simpanan bauksit) sama ada untuk dieksport atau dialih ke satu tempat yang dikatakan tempat stok simpanan berpusat.

"Hanya ada satu kawasan stok simpanan akan dibina dengan perparitan, sistem penapisan, tempat pembersihan...semua sekali," katanya dalam sidang media khas mengenai operasi bauksit di Pahang hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan tempoh moratorium akan dilanjutkan sekiranya pihak industri tidak dapat melaksanakan semua langkah yang digariskan itu.

"Dalam tempoh pelaksanaan moratorium itu, kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan ia dipatuhi. Ia melibatkan agensi persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit, kerajaan juga telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.

Katanya AP baharu akan dikeluarkan selepas tempoh tiga bulan moratorium selesai, dan bagi pelombong yang tidak mematuhi garis panduan ditetapkan, mereka berisiko tidak akan diberikan AP untuk meneruskan aktiviti perlombongan.

Menjelaskan mengenai punca insiden air menjadi merah di Sungai Balok dan laut Pantai Batu Hitam, Wan Junaidi berkata insiden itu berlaku akibat pengaliran sisa bauksit dari pelabuhan.

"Sebagai tindakan proaktif, Jabatan Alam Sekitar mewujudkan enam stesen ad hoc khusus bagi memantau kualiti air di kawasan terjejas disebabkan perlombongan bauksit di Sungai Riau, Sungai Mabok, dan Sungai Pinang menunjukkan kepekatan pepejal terampai kualiti air sungai berkenaan berada dalam kelas III Piawaian Kualiti Air Kebangsaan (NWQS), belum sampai tahap bahaya.

"Hasil analisis persampelan terkini yang dibuat pada 30 Disember lepas pula hanya akan diketahui dalam tempoh tiga minggu," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut hadir pada sidang media itu, menjelaskan terdapat 22 pemegang AP yang sah untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit manakala jumlah pelombong haram tidak dapat dikenal pasti.

Ditanya mengenai keresahan orang ramai berhubung pencemaran itu, beliau menasihatkan penduduk kawasan terlibat supaya bertenang dan kerajaan negeri serta Persekutuan sedang melaksanakan langkah membendung masalah itu.

"Kami tidak berada dalam sindrom penafian dan tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan kebajikan rakyat pada setiap masa, perlu melebihi manfaat lain termasuk kewangan," katanya.

Beliau berkata mekanisme pencegahan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah perlombongan haram yang berlaku di kawasan itu.

Adnan berkata pihaknya tidak teragak-agak meminta campur tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu bauksit, seperti dilakukan agensi itu di Cameron Highlands bagi mengatasi isu pertanian haram yang mencapai kejayaan.

Ditanya mengenai jumlah hasil royalti yang diperoleh kerajaan Pahang daripada pengeksportan bauksit, beliau berkata sebanyak RM46.7 juta berjaya dikutip pada 2015 berbanding RM2.4 juta pada tahun sebelumnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS