Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM sahkan unsur rasuah dalam isu bauksit Kuantan
Diterbitkan:  Jan 6, 2016 8:55 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan bahawa wujud unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang.

Dalam satu kenyataan media, SPRM berkata pihaknya menerima banyak aduan berkaitan isu pencemaran alam sekitar akibat aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal di negeri itu.

“Berdasarkan aduan tersebut, SPRM mendapati telah wujud unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran bauksit berkenaan.

“SPRM memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa tersebut di bawah Akta SPRM 2009,” petik kenyataan itu.

Kenyataan SPRM itu dikeluarkan sehari selepas The Malay Mail melaporkan bahawa agensi pencegahan rasuah itu sedang menyediakan laporan berhubung pihak berkuasa negeri yang terlepas pandang banyak bidang utama dalam aktiviti perlombongan bauksit.

Menurut laporan itu, antara penemuan SPRM termasuk tidak ada kriteria tertentu mengenai siapa yang boleh memohon lesen perlombongan bauksit, tiada keperluan bagi mereka yang mendapat lesen untuk memberi laporan teknikal dan ketiadaan tender terbuka.

Perlombongan bauksit di Pahang meningkat pada 2014 untuk memenuhi permintaan China selepas Indonesia mengharamkan eksport bahan mentah itu kerana menggalakkan pengeluaran aluminium tempatan.

Walau bagaimanapun perlombongan secara tidak terkawal telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius di Kuantan.

Paling jelas kelihatan adalah sungai-sungai dan perairan pantai bertukar merah dan kehidupan marin tempatan terjejas.

Lihat Komen
ADS