21 keluarga mangsa tsunami terbiar di Pulau Pinang

Kira-kira 21 keluarga nelayan di Kampung Pulau Betong dan Sungai Batu, Balik Pulau yang terlibat dengan bencana tsunami mendakwa mereka tidak mendapat sesen pun bantuan dari kerajaan bagi membantu mangsa bencana tersebut.

Mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan sumber rezeki itu kerana bot mereka musnah dalam kejadian tersebut, kini mengharapkan belas ehsan sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan nasib mereka.

Mereka cuma mendapat bantuan zakat RM200 dari Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) meskipun bencana tersebut berlaku sejak 10 hari lalu.

Mereka terdiri daripada sembilan keluarga Melayu dan 12 keluarga Cina. Mereka adalah antara 150 keluarga yang mendiami kampung tersebut yang kebanyakannya adalah nelayan.

Mereka menceritakan masalah yang mereka hadapi itu kepada rombongan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melawat mereka Jumaat lalu untuk menghulur bantuan seperti makanan, pakaian dan wangtunai.

Menurut ketua rombongan tersebut, Badrul Hisham Shahrin, seorang mangsa mendakwa kumpulan yang membahagikan bantuan lalu di kawasan rumah mereka tetapi tidak memberikan bantuan.

Beliau berkata, mereka juga pernah cuba untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak di kawasan kampung sekitar tetapi tidak dilayan.

Bangsal buruk

"Rumah mereka musnah, begitu juga dengan bot nelayan. Bagaimana mereka hendak hidup jika bantuan tidak sampai kepada mereka?" tanyanya.

Menurut Badrul Hisham lagi, keadaan keluarga nelayan terbabit sungguh menyedihkan kerana mereka hanya berteduh di dalam bangsal buruk yang dibina sendiri kerana rumah mereka telah musnah.

"Seorang nelayan dari Kampung Pulau Betong, Yusof Majid, 71, (gambar) memberitahu kami yang mereka tidak memiliki apa-apa lagi, termasuk untuk mencari rezeki kerana bot musnah.

"Ke mana perginya wang berjuta-juta ringgit sumbangan korporat dan rakyat? Mengapa berlaku pilih kasih sedangkan mereka amat memerlukannya," soal Badrul Hisham.

Beliau juga mendakwa yang Umno mahu membolot semua urusan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa bencana tsunami sedangkan sepatutnya ia berganding bahu dengan semua pihak.

"Apabila kami cuba membahagikan bantuan makanan kepada mangsa, petugas-petugas Umno mengarahkan kami meletakkan barangan tersebut di bilik gerakan mereka, kononnya mereka mahu mengagihkan kepada mangsa bencana tsunami.

""Kami bimbang akan berlaku penyelewengan di mana bantuan tidak diberikan kepada mangsa yang tidak menyokong mereka. Dari pengalaman kami di Kedah dan Pulau Pinang, ramai yang mendakwa berlaku pilih kasih dalam pembahagian bantuan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Badrul Hisham meminta semua pihak terutama Umno tidak mempolitikkan bencana tsunami dengan mengambil peluang untuk memperkukuhkan politik mereka.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.