Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib perdaya rakyat mengenai janji 1MDB, kata DAP
Diterbitkan:  Jan 12, 2016 11:33 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang RM42 bilion 1MDB akan diselesaikan tidak lama lagi dan tanpa menggunakan dana rakyat adalah percubaan jelas bagi “memperdayakan” rakyat, kata pemimpin DAP, Tony Pua.

Rakyat yang celik hal kewangan akan tahu bahawa perdana menteri "berbohong" semasa ucapannya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam, kata Pua yang juga adalah Ahli Parlimen, Petaling Jaya Utara dalam satu kenyataan.

Perkara pertama, kata Pua, realiti adalah bahawa masalah kewangan 1MDB masih jauh daripada diselesaikan.

"Walaupun ada perjanjian dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), penebusan hutang RM18 bilion yang akan ditukar dengan aset itu masih belum selesai.

“Tidak ada kepastian bahawa 1MDB akan dapat membekalkan RM18 bilion dalam bentuk aset untuk menebus jumlah hutangnya dengan IPIC menjelang Jun 2016.

"Malah, perjanjian yang ditandatangani pada Jun 2015 itu hanya berjaya dimeterai oleh kerana kerajaan memberi jaminan tidak langsung kepada IPIC untuk menyelamatkan 1MDB - jika 1MDB tidak memenuhi peranannya, maka cukai rakyat Malaysia akan digunakan untuk membayar ganti rugi kepada IPIC, "kata Pua.

Begitu juga, katanya, penjualan Bandar Malaysia kepada konsortium IWH-CREC yang dianggotai oleh Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering adalah jauh daripada selesai seperti yang didakwa oleh 1MDB.

Beliau berkata perjanjian itu akan hanya dapat diselesaikan pada bulan Jun dengan andaian bahawa semua syarat yang dilampirkan dalam perjanjian itu dipenuhi semua pihak.

"Perkara kedua, sekalipun ia diselesaikan (tetapi ia tidak), mereka menyelesaikan hutang itu dengan dana oleh pembayar cukai," kata Pua.

Beliau berkata keuntungan besar 1MDB daripada penjualan Bandar Malaysia adalah disebabkan oleh pembelian asal daripada kerajaan pada harga yang sangat rendah.

"Najib mungkin juga lupa bahawa beliau telah meluluskan pinjaman kecemasan RM950 juta untuk 1MDB pada Februari tahun lalu, walaupun telah berjanji di Parlimen bahawa kerajaan tidak akan menyelamatkan 1MDB.

"Selain itu, kerajaan menyediakan 1MDB dengan satu lagi surat sokongan untuk meminjam AS$150 juta (RM650 juta) daripada Bank Exim," katanya.

Najib pada ucapannya, semalam berjanji bahawa dana rakyat tidak akan digunakan untuk menyelesaian isu 1MDB.

Sehubungan itu, Pua mencabar Najib untuk mengulangi janjinya sebagai kenyataan kementerian pada sidang khas Dewan rakyat yang dijadualkan pada 26 Januari ini.

Lihat Komen
ADS