Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan tak mahu dengar masalah perkauman di Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan semua ketua agama bukan Islam di negeri ini supaya melaksanakan tanggungjawab mereka membantu menyatupadukan rakyat.

Baginda yang menerima kunjungan hormat 16 ketua-ketua agama bukan Islam di Istana Bukit Serene hari ini, bertitah tanggungjawab seseorang ketua agama adalah menyatupadukan rakyat dan memastikan mereka sentiasa hormat-menghormati, meskipun berlainan latar belakang.

"Saya tidak mahu mendengar apa-apa masalah mengenai perkauman di negeri ini. Setiap kaum seperti Cina, India adalah Bangsa Johor. Kita perlu menghormati satu sama lain.

"Jika ada masalah, berjumpalah dengan saya. Saya sentiasa di sini untuk anda (ketua agama)," titah baginda ketika menerima kunjungan hampir sejam rombongan itu di Johor Baharu.

Terdahulu, rombongan itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong turut dipelawa menghadiri majlis santapan tengah hari bersama baginda di istana berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Tee berkata pertemuan itu merupakan detik bersejarah kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata walaupun Sultan Ibrahim merupakan Ketua Agama Islam, baginda mengamalkan sikap terbuka dan mahu berinteraksi dengan pemimpin agama lain.

"Usaha dilakukan ini seiring dengan konsep Bangsa Johor yang menekankan permuafakatan, kesepakatan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam apa jua bidang bagi mencapai sesuatu impak yang positif dan besar kepada pembangunan.

"Semangat inilah yang memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi apabila berkaitan pembangunan inklusif seperti politik, sosial dan ekonomi yang secara umum memanfaatkan masyarakat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS