Tindakan Umno menuduh DAP sebagai parti perkauman merupakan percubaan Umno mengalih tumpuan daripada kegagalan menangani kebimbangan rakyat ini mengenai isu 1MDB dan skandal derma bernilai RM2.6 bilion.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan bahawa parti itu membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia dan menurutnya, kini rakyat berbangsa Melayu turut menyertai mereka.
"Mereka (Umno) cuba bangkitkan isu perkauman isu ini supaya mereka tidak perlu menjelaskan (kepada rakyat) tentang 1MDB dan skandal RM2.6 bilion,” kata Lim.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu DAP akan menerus hala tuju menarik lebih ramai ahli Melayu dan bangsa lain menyertai parti berkenaan.
Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkata DAP masih parti Cina walaupun meletakkan ramai calon Melayu.
