Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: RM1.1 bilion dari 1MDB cukup biayai biasiswa JPA
Diterbitkan:  Jan 21, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa 1MDB membayar kembali geran kerajaan persekutuan berjumlah RM1.1 bilion bagi kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera di Bandar Malaysia.

Katanya, jumlah itu lebih daripada mencukupi untuk membiayai biasiswa pendidikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang digantung.

"Jumlah RM1.1 bilion ini lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa-biasiswa tersebut," kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam kenyataan media.

Rafizi berkata demikian mengulas tindakan kerajaan menggantung biasiswa JPA kepada kira-kira 700 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana pertama.

Katanya, rakyat Malaysia hanya tahu mengenai pemberhentian biasiswa tersebut melalui petikan akhbar berbahasa Cina.

"Maknanya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani berdepan dengan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan-keputusan yang menekan rakyat seperti ini.

"Hakikatnya, sebelum isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA telah ditolak.

"Sehingga kini, saya difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya. Saya juga dimaklumkan kini MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank-bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil," katanya.

Katanya dalam Bajet 2016, perdana menteri memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong daripada RM200 juta kepada RM10 juta sahaja.

"Pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam semakan Bajet 2016 ini adalah jelas: beliau memotong perbelanjaan rakyat terlebih dahulu sebelum perbelanjaan atau projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni," katanya.

Lihat Komen
ADS