Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Merkuri paras tinggi, M'sia juga haramkan produk Qu Puteh
Diterbitkan:  Jan 22, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Selepas Brunei, Malaysia juga melarang jualan produk kecantikan Qu Puteh.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu – Qu Puteh Whitening Pro 9 – tidak lagi dibenarkan dijual.

Ini kerana ia dikesan mengandungi merkuri pada paras tinggi.

“Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

“Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham mendedahkan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima laporan pengguna yang mengalami kesan sampingan selepas menggunakan produk berkenaan lebih kurang tiga bulan.

“Selepas menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block, pengguna terbabit mengalami tinnitus dan keguguran rambut.

“Daripada persampelan dan uji kaji yang dijalankan ke atas dua produk terbabit, BPFK mendapati Qu Puteh Whitening Pro 9 mengandungi merkuri pada paras yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, pengguna kini telah pulih selepas menghentikan penggunaan produk itu.

Kebiasaannya, produk kosmetik yang mempunyai bahan campuran dengan merkuri digunakan untuk tujuan mencerahkan kulit selain rawatan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.

Merkuri tidak sesuai digunakan bagi tujuan kosmetik kerana memudaratkan kesihatan.

Antaranya adalah menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf selain menyebabkan ruam, iritasi serta perubahan pada kulit.

Kanak-kanak masih kecil atau belum dilahirkan berisiko mengalami gangguan perkembangan otak sekiranya mereka menyentuh produk atau individu yang menggunakan produk.

Pendedahan pada merkuri juga boleh menjejaskan kesihatan orang sekeliling apabila disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Sehubungan itu, pihak bertanggungjawab diingatkan pemilikan ke atas produk adalah melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurut Noor Hisham, syarikat yang bertanggungjawab dinasihatkan menghentikan penjualan atau pembekalan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Dan untuk kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Lihat Komen
ADS