Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Bagaimana wang 'beku' boleh dipulangkan?
Diterbitkan:  Jan 27, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan penjelasan peguam negara bahawa Datuk Seri Najib Razak memulangkan kembali sebahagian besar wang sumbangan diterimanya kepada kerabat diraja Saudi.

“Bagaimana dan bila ia dibuat? Kita diberitahu bahawa bakinya dibekukan oleh Singapura.

“Boleh Singapura jelaskan berkaitan unfreezing dan penghantaran balik kepada Saudi?” soalnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada Singapura yang merupakan sebuah pusat kewangan akan begitu mudah tertipu.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkata US$620 (RM2.03) daripada AS$681 yang diterima dipulangkan semula kerana tidak diguna pakai.

Pada 22 Julai tahun lalu, Reuters melaporkan bahawa pihak polis Singapura telah membekukan dua akaun bank susulan siasatan terhadap dakwaan salah urus kewangan dan rasuah berkaitan 1MDB.

Selain itu, Mahathir juga mengakui terkejut dengan keputusan peguam negara yang memutuskan bahawa perdana menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah apabila wang RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

"Mempunyai sejumlah wang seperti itu di dalam akaun perdana menteri pun sudah menjadi kesalahan walaupun ia mungkin bukan jenayah.

"Tetapi peguam negara sekarang mengumumkan wang tersebut merupakan hadiah daripada Arab Saudi.

"Dan peguam negara membuat kesimpulan bahawa tiada kes untuk Najib menjawab. Beliau juga mengarahkan SPRM untuk menutup kes itu dan hentikan siasatan," katanya lagi.

Bekas pemimpin negara itu juga secara sinis mempersoalkan SPRM yang sepatutnya menjadi sebuah badan bebas tetapi dilihat seolah-olah menerima arahan daripada Apandi.

"Saya fikir SPRM adalah sebuah badan yang bebas. Tetapi kini ia seolah-olah berada di bawah peguam negara dan mengambil arahan daripada dia.

"Tidak hairanlah Malaysia termasuk di kalangan sepuluh negara yang paling korup di dunia. Badan pencegahan rasuahnya tidak bebas," kata Mahathir lagi.

Lihat Komen
ADS