Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apandi cuba hentikan siasatan Swiss ke atas 1MDB?

ULASAN l Sejak beberapa hari lalu akhbar-akhbar dunia menyiarkan dua tajuk berita mengenai Malaysia yang berbeza tetapi cukup merosakkan negara.

Tajuk pertama adalah tentang bagaimana Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup misteri ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saya katakan ia sebagai "misteri" kerana sehingga hari ini tiada penjelasan mengenai siapa penyumbang kepada Najib itu dan untuk tujuan apa sumbangan sebesar itu serta apa harapan di sebalik pemberian berkenaan.

Dan jika sumbangan itu adalah sebagai "hadiah" kepada Najib dan negara - mengapa sebahagian besarnya kemudiannya dipindahkan semula ke luar negara ke destinasi yang tidak diketahui dan tujuan yang tidak diberitahu.

Di mana wang itu hari ini dan siapa yang mengawalnya? Jika wang itu adalah benar-benar untuk Umno atau untuk memerangi pengaruh IS di Malaysia, maka ia perlu berada di negara ini. Tetapi ia sebenarnya tidak.

Dan seperti dakwaan sesetengah pihak ia adalah untuk pilihan raya umum dan untuk mengekang pengaruh PAS kerana dakwaan ia mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, maka mengapa Najib dan Umno masih ‘bersama-sama’ dengan PAS hari ini?

Apandi juga membuat dan mengumumkan keputusan lain yang secara langsung mencampuri usaha antarabangsa Malaysia untuk memerangi pengubahan wang haram, penipuan dan rasuah.

Pihak penguatkuasa kewangan dan undang-undang di Hong Kong, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Switzerland masih menyiasat pelbagai aspek skandal membabitkan Najib - akaun banknya, pembelian hartatanah di Amerika Syarikat oleh ahli keluarganya, pemindahan wang 1MDB, dan jualan kapal selam Scorpene.

Tetapi dengan pengumuman Apandi, beliau seolah-olahnya menutup pintu untuk bantuan undang-undang bersama atau kerjasama dengan kerajaan asing.

Terkejut dengan tindakan Apandi itu, pihak berkuasa Switzerland mengambil langkah luar biasa mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai status siasatan mereka.

Mereka merayu kerjasama daripada Malaysia.

Ini adalah tajuk berita kedua terbesar. Ia menghiasi akhbar utama di seluruh dunia, dari Sydney ke New York dan ke London.

Tidak syak lagi, Switzerland melakukan ini untuk beberapa sebab.

Kenyataan akhbar mereka secara jelas mendedahkan bahawa mereka menjumpai beberapa salah laku berhubung dengan 1MDB dan pegawai-pegawai awam dan eksekutif tertentu di Malaysia dan di luar negara.

Kedua, Apandi dilaporkan berjanji memberi kerjasama perundangan kepada Switzerland apabila beliau bertemu dengan mereka pada September lalu.

Jadi pihak Swiss jelas terkejut apabila mereka membaca di surat khabar bahawa Apandi membebaskan Najib daripada sebarang salah laku - bukti bahawa beliau tidak bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana siasatan antarabangsa.


JOHN MALOTT adalah bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia.

Lihat Komen
ADS