Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kronologi krisis politik di Kedah
Diterbitkan:  Feb 3, 2016 3:28 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Krisis politik di Kedah bermula sejak tahun lepas apabila kedengaran suara-suara dalam kepemimpinan Umno negeri mendesak Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Pada mulanya ia berkisar kepada kegagalan Mukhriz menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan serangan berterusan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bapa Mukhriz, terhadap Najib.

Pada 12 April tahun lepas, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin secara terbuka mendesak Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar kerana gagal menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Najib sebagai Perdana Menteri, terutama berhubung isu 1MDB.

Sehari selepas itu, Mukhriz dilaporkan berkata tindakan Ahmad Lebai itu terlalu ghairah dan sepatutnya menunggu sehingga kenyataan rasmi oleh Umno Kedah pada 24 April mengenai sokongan Umno negeri itu terhadap Najib.

Enam hari kemudian iaitu pada 18 April 2015, badan perhubungan Umno negeri mengadakan mesyuarat khas yang dipengerusikan Mukhriz yang antara lain turut membincangkan sokongan terhadap Najib, tindakan Dr Mahathir mengkritik Najib, serta tindakan Ahmad mendesak Mukhriz meletak jawatan.

Selepas mesyuarat itu, hanya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat kenyataan media menyokong kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan Mukhriz sebagai menteri besar, serta menyatakan pandangan mereka supaya Dr Mahathir memberikan masa kepada Najib mentadbir negara, selain meminta Mukhriz tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung isu itu.

Mukhriz pula dilihat turut mempertahankan kritikan Dr Mahathir terhadap parti dan Najib.

Pada 4 Mei 2015, Mukhriz mempertahankan tindakan Dr Mahathir yang sering memberikan pandangan terhadap pentadbiran negara, termasuk mengkritik Najib, dengan berkata tindakan bapanya itu bukan berniat melemahkan Umno dan BN tetapi untuk kebaikan Umno dan BN sendiri.

Sementara itu, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 28 Julai 2015, Mukhriz adalah antara pemimpin Umno yang turut menziarahi timbalan presiden Umno itu di kediamannya di Kuala Lumpur.

Sehari selepas itu, Mukhriz berkata lawatannya ke atas Muhyiddin itu sebagai kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas jasanya terhadap Kedah, dan berkata Najib mempunyai hak untuk melakukan rombakan kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang dilakukan.

Mukhriz yang didakwa tidak mesra dengan kerajaan persekutuan, pada 19 Ogos 2015 menafikan dakwaan itu semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah di perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Malah menegaskan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah baik dan tidak menghadapi sebarang masalah.

Bagaimanapun, pada 11 Disember tahun lepas semasa perhimpunan agung Umno diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, Mukhriz mengadakan majlis makan malam meraikan perwakilan Umno negeri di Saloma Bistro.

Majlis itu turut dihadiri Muhyiddin serta naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, yang merupakan antara menteri yang digugurkan dalam rombakan kabinet pada Julai 2015.

Lebih sebulan selepas kejadian itu, pada 20 Januari lepas, hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah, termasuk 14 Ketua Umno bahagian, ADUN dan anggota Parlimen parti itu, yang diketuai Ahmad Bashah secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Mereka memohon agar perdana menteri menyelesaikan isu berkenaan.

Mukhriz yang hadir pada mesyuarat Umno bahagian Jerlun pada malam hari yang sama, dalam ucapannya berkata beliau menyerahkan kepada rakyat negeri ini untuk menilai prestasinya sejak menjadi menteri besar pada 6 Mei 2013.

Empat hari selepas itu, iaitu pada 24 Januari lepas, terdapat laporan bahawa 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua daripada MCA, menandatangani akuan bersumpah dengan menyatakan hilang kepercayaan mereka kepada Mukhriz.

Hanya dua ADUN yang dipercayai tidak menandatangani akuan bersumpah itu iaitu Mukhriz dan Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar yang juga exco kerajaan negeri.

Pada 26 Januari, Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengeluarkan kenyataan bahawa anggota jemaah itu berkecuali dalam krisis politik di Kedah, serta menasihatkan pihak terlibat menyelesaikan perkara itu secara berhemah.

Pada Jumaat lepas (29 Januari), Najib telah menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur bagi membincangkan pertukaran menteri besar Kedah.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Tan Sri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung krisis menteri besar.

Pada Isnin lepas, seramai 20 daripada 21 ADUN BN dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini mengenai krisis politik membabitkan kedudukan Mukhriz.

Hanya Mukhriz sahaja yang dilaporkan tidak hadir pada majlis itu.

Mereka dilaporkan dipanggil menghadap secara perseorangan bagi menyatakan pendirian mereka berhubung isu tersebut. Semalam, 13 daripada 15 ADUN pembangkang telah menghadap anggota jemaah berkenaan berhubung perkara yang sama.

Dua daripada ADUN pembangkang, iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (PAS) yang merupakan ketua pembangkang dan ADUN Anak Bukit, serta ADUN Bukit Selambau Dr R Krishnamoorthy (PKR) tidak hadir kerana dipercayai berada di luar negara.

ADUN pembangkang terdiri daripada lapan PAS, empat PKR, dua DAP dan satu Amanah.

Pagi ini, Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri besar Kedah berkuat kuasa serta-merta setelah dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah semalam yang beliau hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din dalam sidang media khas di Wisma Darul Aman selepas pengumuman peletakan jawatan oleh Mukhriz, berkata peletakan jawatan Mukhriz berkuat kuasa serta-merta, dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah memperkenankan Adun Bakar Bata Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru.

Pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 35 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dan beliau akan mengangkat sumpah yang berlangsung di Istana Anak Bukit pada kira-kira 10 pagi esok (Khamis).

- Bernama

Lihat Komen
ADS