Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
12 negara tandatangan TPPA hari ini
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 6:19 AM
Dikemaskini: Feb 4, 2016 12:45 AM

Dua belas negara, termasuk Malaysia, menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di Auckland hari ini, pakatan perdagangan yang dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan yang lebih bebas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menandatangani perjanjian perdagangan bebas komprehensif abad ke-21 bagi pihak Malaysia.

Pakatan perdagangan itu mewakili hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai US$30 trilion.

Majlis penandatanganan TPPA di ibu negara New Zealand ini adalah hasil rundingan yang sukar yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan.

Dua belas negara anggota TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Sebahagian besar negara berkenaan merupakan rakan dagang utama Malaysia.

TPPA bermatlamat menggalakkan penyepaduan ekonomi bagi meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial.

Lebih daripada 90 peratus manfaat ekonomi disumbangan menerusi langkah-langkah bukan tarif yang lebih rendah.

Ia juga dijangka mewujudkan peluang-peluang baharu untuk pekerja dan perniagaan, menyumbang kepada meningkatkan taraf hidup 600 juta penduduk, memberi manfaat kepada pengguna, mengurangkan kemiskinan serta menggalakkan pertumbuhan mampan.

Selain Mustapa, ketua perunding TPPA Malaysia Datuk J. Jayasiri turut hadir pada acara bersejarah itu.

Majlis pemeterian itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen di Auckland bermula pada 9.00 pagi waktu tempatan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni, diikuti mesyuarat peringkat menteri sebelum majlis pemeterian dilakukan.

Malaysia, yang menyertai TPPA pada pusingan ketiga rundingan pada Oktober 2010, bakal menyaksikan KDNK meningkat sebanyak US$107 bilion kepada US$211 bilion antara 2018-2027.

Pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak US$136 bilion kepada US$239 bilion antara 2018-2027, sebahagian besarnya menerusi pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi, dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS