Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rizalman dihukum 9 bulan tahanan di rumah
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 9:21 AM
Dikemaskini: 7:28 AM

Bekas atase pertahanan, Muhammad Rizalman Ismail, dijatuhi hukuman tahanan di rumah selama sembilan bulan, selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan serangan sumbang terhadap wanita Wellington, Tania Billingsley.

Menurut NZ Herald, Mahkamah Tinggi Wellington telah mendengar hujah daripada peguambela Dr Donald Stevens dan pendakwa Grant Burston.

Grant dilaporkan bersetuju Rizalman dikenakan hukuman tahanan di rumah.

Di New Zealand, hukuman tahanan di rumah memerlukan pesalah berada di kediaman yang diluluskan pada setiap masa dan dipantau 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Sementara itu, pihak pembela berkata tertuduh telah menulis surat memohon maaf dan menawarkan untuk membayar pampasan.

Ia juga berhujah bahawa Rizalman berhak diberi hukuman yang lebih ringan daripada tahanan di rumah.

Rizalman, 39, mengaku bersalah pada 30 November lalu terhadap tuduhan melakukan serangan sumbang terhadap Billingsley. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim David Collins semasa membacakan keputusannya dilaporkan memberitahu

Rizalman bahawa dia telah "bertindak ganas" ke atas Billingsley. Wanita itu masih muda, bersendirian di biliknya, dan berhak untuk berasa selamat dan terjamin di bilik tidurnya.

"Saya telah membaca dengan teliti kenyataan impak mangsa itu, Cik Billingsley. Jelas tindakan anda menakutkan dia," katanya seperti dilaporkan NZ Herald.

Hakim Collins berkata wanita tidak perlu melalui keadaan yang begitu menakutkan seperti yang dialami Billingsley apabila Rizalman menceroboh kesucian bilik tidurnya.

Katanya beliau menerima kenyataan impak daripada mangsa, Billingsley yang ingin supaya ia disekat dan beliau telah membenarkannya.

Hakim juga menerima hakikat bahawa Rizalman mempunyai rekod perkhidmatan yang boleh diteladani dan berkata keluarganya juga menjadi "mangsa yang tidak bersalah" atas kesalahannya akibat publisiti yang menyelubungi kes itu.

Hakim Collins memulakan pengiraannya menjatuhkan hukuman penjara 27 bulan kemudian memberi diskaun atas kelakuan baiknya sebelum ini, kerjasama Rizalman untuk kembali ke New Zealand, kemungkinan hilang pekerjaan, masa untuk ikat jamin, akuan bersalah dan tawaran pampasan.

Bagaimanapun, hakim tidak memberikan sebarang waktu untuk menunjukkan penyesalan di sebalik surat mohon maaf.

NZ Herald melaporkan hukuman tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia namun boleh dibuat di sebuah kawasan hartanah yang disewa kerajaan Malaysia. Alamatnya dirahsiakan.

Menurut laporan itu selepas menjalani hukuman itu, Rizalman, bekas pembantu di atase pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, akan dihantar pulang.

Lihat Komen
ADS