Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tabung Haji akan membina pangsapuri di atas tanahnya di Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara, yang diperoleh dengan nilai RM177.5 juta daripada 1MDB sebelum ini.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abd Azeez Abd Abd Rahim ( gambar ) menjelaskan demikian ketika menegaskan sekali lagi harta tanah itu tidak akan dijual.

"(Anak syarikat Tabung Haji) TH Properties diberi mandat membangunkan bangunan pangsapuri di sana," katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman bonus pendeposit Tabung Haji 2015 di ibu negara hari ini.

Azeez turut menerangkan bahawa pembangunan hartanah di tanah TRX kini masih dalam peringkat perancangan oleh TH Properties.

Menurut Azeez, harta tanah itu dan sekarang sudah bernilai RM250 juta.

Beliau berkata, nilai tanah di TRX sebelum ini berharga RM2,700 sekaki persegi dan kini meningkat kepada RM3,100 sekaki persegi.

Katanya lagi, nilai pembangunan kasar (GDV) tanah berkenaan pula dianggarkan bernilai RM820 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ( gambar ) pada 29 Disember tahun lalu telah berkata tanah itu tidak akan dijual kerana bernilai tinggi.

Beliau menjawab soalan parlimen Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) yang mahu tahu faktor yang menyebabkan kelewatan penjualan plot tanah TRX yang dibeli daripada syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

Jawapan itu diberikan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.

Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihatkan Tabung Haji supaya menjual tanah di TRX itu berikutan bidasan pelbagai pihak yang mendakwa ia sebagai usaha menyelamatkan 1MDB.

Bantahan awam muncul susulan Tabung Haji dikatakan membeli dengan harga terlalu mahal dibandingkan dengan perolehan 1MDB dari kerajaan pada hanya RM64 setiap kaki persegi pada 2011.

Lihat Komen
ADS