Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahman: Krisis politik Kedah tiada kaitan dengan PM
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 7:00 AM
Dikemaskini: 11:15 PM

Krisis politik Kedah sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar oleh Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tiada kaitan langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata krisis politik tersebut merupakan urusan dalaman Umno negeri itu dan tiada kena mengena dengan perdana menteri.

"Ini (krisis politik di Kedah) tiada kaitan dengan perdana menteri. Saya harap mereka yang menuduh PM menjadi dalang isu ini tidak teruskan tohmahan ini," katanya.

Abdul Rahman, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru selepas melawat tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Bukit Tagar di Bestari Jaya, dekat Kuala Selangor semalam.

Beliau berkata Mukhriz merupakan ikon generasi muda apabila dilantik sebagai menteri besar tetapi beliau gagal mendapat sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin Umno Kedah.

"Kita kena faham politik adalah permainan melibatkan sokongan. Jika anda tidak mempunyai sokongan maka tempoh kedudukan anda boleh dikira," kata Abdul Rahman, yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan.

Beliau berkata pelantikan Ahmad Bashah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, menunjukkan rakyat merupakan tonggak kuasa di Kedah termasuk pemimpin Umno bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri.

Justeru, katanya, mereka berpendapat negeri itu perlu dipimpin oleh menteri besar baru selepas kepimpinan Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Beliau berkata Ahmad Bashah telah memainkan peranan penting dalam membantu BN merampas semula Kedah daripada pembangkang pada pilihan raya umum 2013.

- Bernama

Lihat Komen
ADS