Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah dakwa liberalisme ajaran sesat moden
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 1:41 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Kemunculan ajaran sesat berlaku di setiap zaman namun semua pihak perlu menyedari ancaman kesesatan aliran pemikiran moden yang didakwa berjaya mensinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran Barat.

Teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyenaraikan aliran pemikiran yang didakwa membawa kerosakan pemikiran begitu besar kepada agama Islam.

“Bermula daripada fahaman liberalisme dan pluralisme, ia berubah kepada bentuk radikal dan ekstrem seperti kumpulan militan IS.

“Apa yang membimbangkan, kesucian agama ada kalanya dinodai oleh orang yang kurang memiliki hikmah dan mereka yang cuba menyelit nilai, prasangka dan agenda peribadi kerana mahu menjuarai dan mensensasikan sesuatu isu atas nama agama berpotensi mencetuskan porak-peranda dan malapetaka,” menurut mimbar.

Sehubungan itu mimbar mengingatkan bahawa rakyat di negara ini menjauhi pemikiran tersebut kerana ia menyalahi ajaran Islam.

“Jauhilah diri kita dari sebarang pengaruh pemikiran yang menyesatkan apatah lagi untuk menyebarkannya,” teks khutbah itu dipetik.

Mimbar turut memberi peringatan supaya rakyat Malaysia tidak tertipu dengan ajakan golongan ekstremis yang menurutnya sering memutarbelitkan agenda perjuangan.

Selidik maklumat

Sementara itu, khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula mengingatkan mengenai “tabayyun” iaitu keperluan menyelidik maklumat yang diterima sebelum membuat keputusan sama ada benar atau palsu.

Mimbar yang memetik keadaan masa kini apabila terlalu banyak maklumat yang tidak benar tersebar melalui Internet dan telefon bimbit.

Malah ada maklumat berupa fitnah yang bersifat spekulasi yang sengaja dibuat-buat kononnya sebagai hiburan dan lawak semata-mata termasuk tuduhan melulu yang bermotifkan populariti.

Jelas khutbah itu lagi, sikap sedemikian haruslah dijauhi memandangkan agama Islam sendiri melarang perbuatan tersebut.

“Awaslah! Menyebarkan berita, maklumat tidak benar atau yang belum diselidiki tahap kesahihannya, jelas dilarang dalam ayat-ayat yang kita bincangkan ini.

“Perbuatan seperti ini boleh mengakibatkan kita menjadi golongan yang rosak akhlaknya,” teks khutbah itu dipetik.

Lihat Komen
ADS