Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ: Saranan AG zalim, tak demokratik
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 7:00 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) membantah cadangan peguam negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan mengenakan hukuman berat kepada wartawan yang tidak mendedahkan sumber mereka.

Setiausaha Agungnya, Schave Jerome De Rozario berkata saranan itu bercanggah etika kewartawan bagi melindungi sumber maklumat dalam laporan sesuatu berita.

"Kenyataan peguam negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan 10 rotan adalah zalim dan tidak demokratik.

"Ia disifatkan satu kezaliman kerana tugas wartawan adalah untuk melaporkan kebenaran dan bukan sebaliknya," katanya pada kenyataan media hari ini.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Akhbar Sinchew Daily melaporkan pejabat peguam negara sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan kepada mereka yang didapati bersalah.

Mengulas lanjut, Schave Jerome menyarankan wartawan mematuhi etika kewartawanan dengan mempertahankan dua prinsip iaitu kebebasan melapor secara jujur serta hak mengulas dan menegur secara adil tanpa tekanan pelbagai pihak.

"Wartawan juga mestilah sanggup menyiarkan kembali kenyataan yang benar jika berlaku kesilapan dalam laporan awal.

"Wartawan juga perlu menghormati dan memelihara hak sumber supaya tidak menyiarkan sumber yang tidak menginginkan namanya disebut," katanya.

Sementara itu beliau turut menasihati wartawan terlebih dahulu mendapat pengesahan bertulis daripada menteri atau peguam negara tentang sesuatu laporan yang dipercayai daripada maklumat yang bocor.

"Semua pihak dalam industri media mestilah bersedia daripada sekarang.
"NUJM tidak boleh bertanggungjawab terhadap risiko ahlinya dipenjara seumur hidup atau 10 sebatan," katanya.

Lihat Komen
ADS