Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Lindungi pemberi maklumat yang dedahkan rasuah

Pemberi maklumat yang mendedahkan rasuah atau penipuan dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) perlu diberikan perlindungan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

"Jika (dokumen OSA) berhubung penyalahgunaan, jika ada rasuah atau penipuan. Sebagai contoh, perlu ada pengecualian bahawa boleh memberi maklumat tanpa didakwa.

"Siapa yang mahu jadi pemberi maklumat tanpa dilindungi?" kata Low kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat juga perlu diperluaskan untuk melindungi penjawat awam dan menyediakan mereka dengan saluran selamat untuk mendedahkan salah laku dalam kerajaan.

Akta itu kini tidak memberikan sebarang perlindungan kepada mereka yang membocorkan dokumen OSA.

Low mengulas cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengukuhkan OSA terhadap individu yang membocorkan rahsia kerajaan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan.

Low bersetuju bahawa maklumat sensitif seperti isu-isu keselamatan negara, kertas siasatan terbuka, rundingan tender dan data kewarganegaraan perlu dilindungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, OSA perlu dikaji semula supaya kerajaan boleh menjadi lebih terbuka.

"Ketelusan akan menggalakkan kebertanggungjawaban dan membuat keputusan yang baik.

"Anda tidak boleh hanya mengambil beberapa bahagian (di bawah OSA) dan menentukan segala-galanya perlu menjadi rahsia dan bahawa setiap orang perlu pergi ke penjara," kata Low.

Beliau berkata maklumat yang kerajaan perlu kongsi dengan orang ramai termasuk konsesi yang telah dibuat seperti tol dan data yang boleh membantu profesional merancang pembangunan yang lebih baik.

Dengan menjadi lebih terbuka, Low berkata, kerajaan akan bergerak seiring dengan harapan orang ramai untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Lihat Komen
ADS