Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM, ASWAJA anjur kursus latih penceramah tangani Daesh
Diterbitkan:  Feb 9, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:24 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kali, bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kursus bagi melatih penceramah untuk menjelaskan kepada masyarakat berhubung ancaman militan Daesh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata melalui kursus itu dengan kerjasama Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), peserta diberi penekanan terhadap bahaya ancaman keganasan dan impaknya terhadap negara.

"PDRM sudah berkolaborasi dengan ASWAJA sejak 2006, namun inisiatif menganjurkan kursus bagi melahirkan penceramah adalah kali pertama. Menerusi kursus ini, peserta dapat memahami konsep jihad sebenar di samping memantapkan kefahaman mereka mengenai kumpulan militan itu.

"Setelah memahami isu keganasan melibatkan kumpulan militan itu, mereka boleh memberi ceramah kepada masyarakat agar tidak terkeliru dan terjebak dengan fahaman ekstrem itu yang menjurus ke arah tindakan yang boleh mengancam keselamatan masyarakat dan negara," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup kursus 'Training of Trainers: Bahaya Militan IS', di ibunegara semalam.

Sebanyak 50 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pensyarah universiti, ahli akademik dan pegawai kerajaan menyertai kursus tiga hari yang bermula Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Khalid menyeru masyarakat supaya sentiasa berganding bahu dengan kerajaan untuk menolak sebarang bentuk ideologi ekstrem dan meyakini bahawa konsep wasatiyyah adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan negara.

Khalid berkata sejak Februari 2013 sehingga semalam, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM telah menahan 157 suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan Daesh, dan daripada jumlah itu, 132 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"Daripada jumlah itu (157) juga, 136 adalah rakyat Malaysia dan 21 warga asing," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS