Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan salahkan saya, jangan salahkan k'jaan, kata Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan berhubung cadangan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Zahid hari ini diminta mengulas mengenai tuntutan beberapa pihak supaya kerajaan menyelesaikan masalah buruh tanpa izin terlebih dahulu sebelum membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Mengulas perkara itu, timbalan perdana menteri berkata dasar itu dibuat sebagai respons kepada permintaan majikan.

"Bukan kerajaan yang nak bawa. Yang minta adalah majikan dan kerajaan mendengar permintaan mereka, di mana mereka mengatakan bahawa syarikat mereka tidak dapat berjalan kerana kekurangan pekerja.

"Keprihatinan kerajaan (terhadap perkara itu) bukan kerana kita mahu levi dengan membawa pekerja itu, tetapi kerana memenuhi kehendak pasaran, iaitu majikan yang memohon," katanya selepas melancarkan mini MAD Velocifero di Shah Alam hari ini.

Sambil menegaskan bahawa ia bukan salah kerajaan, Zahid berkata kerajaan mahu memenuhi kehendak majikan.

"Jangan salahkan saya, jangan salahkan kerajaan, jangan salahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia," tegasnya.

Persatuan-persatuan berkaitan, katanya, mungkin memberi pandangan mereka tanpa menyelami perasaan ahli persatuan mereka.

Zahid juga berkata bahawa ia bukan hasrat kerajaan untuk menyekat peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

"Tapi dalam sektor-sektor tertentu, rakyat Malaysia tak nak kerja. Berapa ramai yang mahu bekerja dalam sektor perladangan?

"Berapa ramai yang mahu berpanas dan berhujan dalam sektor pembinaan. Berapa ramai yang mahu bekerja dalam sektor 3D: sektor yang kotor, berbahaya dan sukar? Tak ada," katanya.

Sambil menggesa semua pihak supaya jangan melihat dari segi aspek negatif semata-mata, Zahid meminta mereka juga melihat dari segi aspek permintaan majikan.

Tahun lepas, Zahid mengumumkan bahawa 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memenuhi keperluan majikan daripada pelbagai sektor.

Para pekerja itu akan masuk Malaysia di bawah skim Plus G2G yang membolehkan mereka bekerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian, selain daripada sektor perladangan sedia ada dibuka kepada mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS