Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Abduh Nik Aziz berkata beliau mengalu-alukan usaha pihak yang mahu memfilemkan cerita tentang bapanya itu.

Bagaimanapun, Nik Abduh yang juga ketua pemuda PAS berkata, beliau berharap sekiranya filem tersebut dihasilkan, segala fakta mengenai arwah bapanya itu tepat dan tidak ditokok tambah.

"Kita mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengetengahkan almarhum ayahanda. Cuma kita harap, fakta kena betul, cara, fakta yang sama.

"Jangan buat filem yang ada tambah-tambah sehingga generasi akan datang fahami sejarah ayahanda Tok Guru (Nik Aziz) dengan fakta yang salah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Jumaat lalu, pengarah filem Aziz M Osman menceritakan hajatnya untuk mengarah sebuah filem berkisar pelaksanaan hudud yang pernah dirancang oleh bekas menteri besar Kelantan itu.

Menurut Aziz, ilmu hudud itu perlu disampaikan kepada mereka yang tidak tahu mengenai hukuman tersebut melalui kaedah yang pernah digunakan Nik Aziz.

"Dari segi psikologi Tok Guru telah pun melaksanakan hudud dengan cara mendidik,” kata pengarah filem XX-Ray itu.

Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau merupakan menteri besar Kelantan antara tempoh 1990 hingga 2013.

Lihat Komen
ADS