Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar M'sia di NZ kongsi detik cemas gempa bumi
Diterbitkan:  Feb 15, 2016 6:21 AM
Dikemaskini: 11:03 PM

Seorang penuntut Malaysia di Christchurch, New Zealand tidak menyangka gegaran kuat yang menggoyangkan rumahnya berpunca daripada gempa bumi yang melanda kawasan itu.

Mastura Ahmad Kamil, 23, penuntut perubatan di University of Otago, berkata gegaran itu berlaku selama beberapa minit dan cukup menakutkan.

Ketika kejadian 1.15 petang waktu tempatan (8.15 pagi waktu Malaysia) itu, beliau tinggal berseorangan di rumahnya dan sedang melayari internet.

"Secara tiba-tiba terasa gegaran kuat berlaku... rumah saya bergoyang beberapa minit. Saya merasa takut dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Alhamdulillah, saya selamat," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Mastura berkata beliau mengetahui gegaran itu disebabkan oleh gempa bumi apabila melayari berita di laman Facebook.

Beliau kemudian menghubungi keluarganya di Klang, Selangor dan memaklumkan keadaannya.

"Keluarga saya sangat risau dan memberi pelbagai nasihat, antaranya menyuruh saya mencari tempat kukuh sebagai tempat berlindung," katanya.

Menurut Mastura insiden hari ini merupakan pengalaman kedu yang dialaminya selepas kejadian pertama berlaku sewaktu beliau menetap di bandar Dunedin, tahun lepas.

Menurut laporan media, gempa bumi kuat berukuran 5.7 pada skala Richter berlaku dekat Christchurch yang mengakibatkan cenuram runtuh ke dalam laut.

Tiada kerosakan besar pada bandar raya itu, yang pernah dilanda gempa bumi pada 2011 hingga mengorbankan 200 orang.

Kementerian Luar dalam kenyataannya mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam gempa bumi itu, namun pihak Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau dan memberikan makluman sewajarnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS