Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertemuan Adenan-duta bakal rungkai kehadiran kapal China
Diterbitkan:  Feb 15, 2016 6:47 AM
Dikemaskini: Feb 15, 2016 3:26 AM

Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang akan melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada satu masa yang ditetapkan, bagi merungkai persoalan berhubung kapal pengawal pantai negara itu yang di berada luar kawasan perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata saluran diplomasi mesti digunakan dalam situasi seperti itu supaya tiada insiden tidak diingini berlaku.

Katanya pendirian negara adalah konsisten dan ia mahu tahu tujuan dan hasrat kapal-kapal China meronda di luar perairan negara.

"Duta itu akan membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak supaya adanya komunikasi langsung antara negeri itu dan China serta tidak dieksploitasikan oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.

"Saya percaya sebarang campur tangan ketenteraan adalah hanya langkah terakhir," katanya kepada pemberita selepas sambutan Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Sembrong di Paloh semalam.

Hishammudin, yang juga ahli Parlimen Sembrong, berkata keputusan yang diambil Huang dan Adenan serta kepimpinan di Sarawak adalah yang terbaik bagi memperjelas apa sahaja situasi di peringkat negeri dan negara.

"Saya dah kenal lama (Dr Huang) dan saya rasa beliau tiada tujuan untuk mengeruhkan atau menegangkan keadaan. Kebijaksanaannya dalam kepimpinan hubungan kita dengan negara jiran bukan sahaja China malah dengan Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Itu semua mesti diambil kira terutama dunia tanpa sempadan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuannya dengan Huang pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen itu.

Kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan berkenaan, dikesan sejak dua tahun lepas yang mengakibatkan nelayan laut dalam tempatan takut mendekatinya.

Pada Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata Malaysia akan meneruskan mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal pengawal pantai China itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS