Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chegubard: Ada 'dendam' Azmin dalam lantikan ahli majlis

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin mendakwa ramai calon tidak dilantik sebagai ahli majlis Pihak berkuasa Tempatan (PBT) disebabkan ''sikap dendam" Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.

Selain itu Azmin juga didakwa tidak menghormati PKR dan cabang parti itu walaupun perlembagaan parti menyatakan cabang mempunyai hak bersuara untuk memilih calon termasuk calon pilihan raya.

"Kebanyakan cabang-cabang di Selangor tidak sokong Azmin, maka beliau mengambil dendam ini dan ia lebih buruk daripada cara Umno berdendam.

"Azmin tidak menghormati parti. Kerisauan kita apabila berdepan dengan pilihan raya nanti, mereka (ahli-ahli cabang) ini yang akan berdepan dengan rakyat.

"Tapi macam mana mereka nak tolong jika Azmin tak tolong (pilih) mereka," kata Chegubard dalam sidang media di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur dan Selangor petang tadi.

'Cakap tak serupa bikin'

Dakwaan Chegubard itu diakui oleh Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya, S Murali.

Beliau menyatakan, Fasal 4 Pekeliling berkenaan menyatakan bahawa ahli majlis mestilah bermastautin di kawasan mereka berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Garis panduan PKR turut menyatakan cabang sepatutnya menamakan calon mereka kepada pimpinan negeri sebelum disahkan oleh pimpinan pusat, namun ia tidak berlaku, katanya.

“Apa yang berlaku di Selangor, tak ikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat cabang. Selepas mesyuarat kami beri cadangan kepada menteri besar malangnya beliau tidak ambil nama yang kami berikan.

“Mereka letak nama sendiri untuk kami luluskan, ketua cabang kami bantah dan tak nak luluskan, nama lain dilantik.

“Kami tak puas hati apa yang dibuat oleh Azmin. Tak tahu kenapa cakap tak serupa bikin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Murali mendedahkan seorang ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilantik walaupun beliau tidak dicadangkan oleh Cabang Kelana Jaya dan bermastautin di SS 2, Petaling Jaya.

Pemilihan ahli majlis PBT Selangor sebelum ini dilaporkan tertangguh ekoran kerajaan negeri Selangor masih belum memutuskan sama ada akan memperuntukkan kerusi majlis tempatan kepada parti Amanah Negara (AMANAH).

Selangor mempunyai 288 ahli majlis - 120 kerusi diperuntukkan kepada PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 98 dan 70 kerusi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada pihak Azmin berkenaan isu ini.

Lihat Komen
ADS