Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subra: Cadangan kaji semula kesalahan guna ganja perlu diperhalusi
Diterbitkan:  Feb 19, 2016 3:18 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Cadangan seorang Anggota Parlimen Belia supaya mengkaji semula kesalahan pengambilan ganja kerana golongan muda tidak menganggapnya sebagai dadah, perlu diperhalusi secara mendalam oleh semua pihak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata walaupun beberapa negara di dunia seperti Belanda menghalalkan penggunaan ganja, namun semua pihak perlu melihatnya daripada pelbagai sudut.

"Dadah sudah menjadi isu besar dalam negara kerana ia membawa kepada pelbagai perkara antaranya menghancurkan kedamaian keluarga, merosakkan masa depan orang muda selain mewujudkan masalah sosial seperti gangsterisme.

"Perkara ini perlu dikaji dengan mendalam kerana mungkin sesetengah pihak yang menuntut perkara ini datang dari kumpulan yang mengkaji kebaikan dan keburukan ganja, tetapi kita perlu lihat sama ada ia perlu dilakukan dalam negara sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar di Skudai dekat Johor Bahru hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja mengikut situasi semasa dengan melihat kegunaannya daripada aspek positif.

Dr Subramaniam berkata kerajaan mempunyai pelbagai isu lain yang perlu diberikan tumpuan berbanding isu ganja dan tidak melihat cadangan menghalalkan penggunaan ganja sebagai agenda nasional.

Katanya beliau sendiri bimbang cadangan menghalalkan penggunaan ganja kerana ia boleh 'membuka pintu' kepada perkara yang lain di negara ini.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata pihaknya berharap pindaan akta berkaitan hak penjagaan anak dan hak kepada harta sekiranya berlaku penukaran agama oleh seorang suami atau isteri dapat dilakukan

pada persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan atau Jun.

Beliau berkata isu berkaitan penukaran agama menjadi isu tumpuan ketika ini dan diharapkan dapat diselesaikan secara baik, sekali gus tidak dijadikan isu antara kumpulan tertentu di negara ini.

"Kabinet telah pun melantik lima jemaah menteri untuk berbincang bersama Peguam Negara seterusnya mencari penyelesaian berhubung isu ini. Kita berpendapat perkara ini boleh diselesaikan secara baik supaya hak semua orang terpelihara khasnya kaum ibu yang terpisah dengan anak atau suami tidak menunaikan tanggungjawab," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS