Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa khabar 'otai' Kedah?

Sudah hampir sebulan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menduduki kerusi menteri besar dan sudah hampir sebulan juga kelibat Datuk Seri Mukhriz Mahathir tersingkir daripada pentas politik ketara negeri itu.

Berbanding Mukhriz, Ahmad Bashah adalah pilihan yang lebih digemari ketua-ketua bahagian Kedah - dibuktikan apabila mereka bersekutu untuk mendesak perdana menteri menggantikan Mukhriz.

Ketika anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendakwa dia mendapat sokongan rakyat terbanyak Ahmad Bashah pula menggunakan dukungan ketua-ketua bahagian untuk mengabsahkan tuntutan kepada kepimpinan di Putrajaya.

Realitinya - ketika ini - bagaimana?

Seorang ahli jawatankuasa bahagian Umno Kedah memberitahu sebenarnya kebanyakan pemimpin peringkat negeri 'terkejut' dengan cara baru dibawa Mukhriz di Wisma Darul Aman.

"Sebab itu, barisan exco kerajaan negeri yang dipilih Mukhriz sebelum ini dibarisi muka-muka baru. Mengapa? Sebab Mukhriz cuba membentuk gaya kepimpinan baru," katanya.

Namun ironisnya "gaya baru" itulah yang mendorong Mukhriz terkorban di pentas politik arus perdana.

Sumber dari Pemuda Umno bahagian pula memaklumkan pedekatan Mukhriz menyebabkan sesetengah pemimpin di Kedah sukar 'mencari makan' melalui projek kerajaan negeri.

"Secara majoriti ahli Umno suka kepada Mukhriz, hanya sesetengah pemimpin bahagian berasa tidak gembira.

"Mereka tak puas hati sebab susah cari makan atas nama Umno," tegasnya.

Selalu terlalu 'berkira'

Menurut beliau, tidak seperti sangkaan kebanyakan orang 'luar', Mukhriz bukan seorang politikus 'lurus bendul' sebaliknya memiliki keperibadian baik.

Katanya, pendekatan diambil Mukhriz biasanya bertentangan dengan tradisi dibawa pemimpin di peringkat bahagian.

"Mengikut fahaman orang Umno di peringkat bahagian, mereka perlukan wang untuk menjaga kawasan, namun bagi Mukhriz, beliau mahu pemimpin tersebutlah berusaha mencari dana untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Mukhriz juga kata ahli jawatankuasa pemuda itu, terlalu 'berkira' selain tidak tahu untuk marah-marah kepada orang lain. Sebaliknya, kata sumber itu, Mukhriz menghabiskan banyak masa untuk berkhidmat.

Bagaimanapun, seorang veteran Umno Kedah menyifatkan Mukhriz sebenarnya tersalah langkah dalam percaturan pentadbiran diterajuinya.

"Beliau mudah berbaik sangka dan mungkin menganggap orang (Umno) sekeliling begitu selesa dengan caranya.

"Dengan itu, mudahlah pihak yang tidak sehaluan dengan beliau mencari sebab dan alasan supaya Mukhriz disingkirkan. Lebih-lebih lagi keadaan kemelut dalaman parti melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Pada pemilihan Umno 2013, Mukhriz mencuba nasib untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dengan membawa slogan "Berani Berubah" untuk beliau mencabar kepimpinan tertinggi sedia ada.

Apa pilihan ada

Tetapi kemenangan tidak menyebelahi beliau kerana benteng tradisi politik Umno yang cuba dipecahkan itu tidak disahut barisan perwakilan berbanding slogan tradisi.

Memetik kata-kata veteran Umno Kedah itu: "Mana ada orang Umno berani berubah?"

Melalui slogan itu, katanya, orang mula sedar apa yang dimaksudkan Mukhriz dan pendekatan yang mahu dibawanya tidak berani disahut oleh perwakilan.

Sementara itu sumber lain pula mendakwa tafsiran sesetengah ahli Umno kepada slogan Berani Berubah itu melebihi apa yang sepatutnya. Atau mungkin tidak menyentuh 'nurani' mereka.

"Berubah apa? Adakah maksud tersirat yang mereka fahami adalah mengubah kepimpinan sedia ada?" katanya.

Sementara menunggu langkah seterusnya daripada Mukhriz - itu pun jika ada - menarik juga untuk membayangkan pilihan yang ada pada beliau.

Tanpa jawatan utama di peringkat negeri dan pusat, nasib Mukhriz banyak bergantung kepada gerak kerja beliau dan jentera sokongannya.

Ketika ada pihak meramalkan Mukhriz akan mencuba nasib - sekali lagi - di peringkat pusat dalam pemilihan parti akan datang, peluang untuknya menyinar semula mungkin sekadar angan-angan.

Pada akhirnya, terbuktilah bahawa 'otai' tetap 'berbisa'.

Lihat Komen
ADS