Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat PM nafi laporan TMI, Yuktes bukan pegawainya
Diterbitkan:  Feb 26, 2016 1:45 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan laporan The Malaysian Insider (TMI) yang memetik seorang individu yang bernama Yuktes Vijay sebagai seorang pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan pejabat itu berkata, Yuktes bukan kakitangannya.

“Individu ini bukan kakitangan Pejabat Perdana Menteri dan kenyataan-kenyataannya tidak mewakili Pejabat ini.

“Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menyamar sebagai kakitangan dan menyalahgunakan nama Pejabat Perdana Menteri,” petik kenyataan itu.

Ia dipercayai merujuk kepada artikel portal TMI bertarikh 24 Februari yang bertajuk “Pembantu PMO pertahan Najib tidak saman WSJ menerusi Facebook”.

Artikel itu melaporkan seorang pembantu di Pejabat Perdana Menteri mendakwa isu membabitkan akta di Amerika Syarikat menyukarkan Najib daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal (WSJ).

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman web TMI atas alasan melanggar undang-undang negara seperti dipapar kepada pelayar di web berkenaan.

Menurut SKMM, laman itu disekat mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang negara.

Hari ini menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan sekatan berkenaan adalah kerana artikel mengenai perdana menteri.

"Ya, salah satu artikel memetik kenyataan panel (penilaian operasi SPRM) yang mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," kata Salleh ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival Karangkraf, di Shah Alam.

Artikel bertajuk “Cukup bukti dakwa Najib isu SRC International, kata panel SPRM” yang disiarkan pada 25 Februari lalu memetik seorang ahli panel penilaian operasi suruhanjaya berkenaan yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, pengerusi panel itu, Tan Sri Hamid Bugo dalam satu kenyataan malam semalam, menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Najib seperti yang dilaporkan.

Namun, kenyataan itu hanya ditandatangani oleh dua daripada lapan anggota panel iaitu Hamid sendi selaku pengerusi dan seorang lagi anggota panel iaitu Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.

Lihat Komen
ADS