USM turut siasat lamanweb Ali Bukhari dan gerakan penulis
Nurul Nazirin
1106914037
Fokus siasatan terhadap pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Ali Bukhari Amir kini beralih kepada kandungan lamanweb kendaliannya serta gerakan pelajaraya persekutuan.
Pelajar berusia 28 tahun ini pada mulanya disiasat berhubung tulisannya yang disiarkan dalam Berita Kampus dan lidah rasmi PAS, Harakah.
Tulisan tersebut menyentuhkan mengenai politik partisan di dalam kampus dan sekatan terhadap perkembangan intelektual pelajar universiti.
Sebelum ini, jawatankuasa penyiasat telah mengarahkan Ali supaya tidak mendedahkan butir-butir siasatan terhadapnya kepada pihak media.
Dia juga diberitahu supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada naib canselor USM jika dia mahu menyiarkan tulisannya pada masa depan.
Menurut Ali, keputusan untuk menyiasat lamanweb kendaliannya serta gerakan pelajaraya persekutuan dibuat selepas perbincangannya selama 30 minit dengan bahagian keselamatan universiti tersebut.
Ketua Bahagian Keselamatan USM, Noor Rizan Khalid juga telah meminta Ali supaya memberi penjelasan bertulis mengenai bila dan bagaimana dia mewujudkan lamanweb tersebut.
Ali juga disiasat mengenai cek-cek yang dibayar untuk tulisannya. Salinan cek-cek tersebut disiarkandalam lamanweb.
"Ianya bayaran (saguhati) yang saya terima untuk tulisan tersebut," katanya sambil menambah, "Mereka mahu tahu mengapa saya menerima wang tersebut tanpa kebenaran naib canselor."
Menggalakkan idea baru
Mengenai gerakan pelajaraya persekutuan, Ali yang mengetuai kumpulan tersebut, berkata ianya terdiri daripada penulis di universiti tempatan untuk menggalakkan idea mengenai pembangunan sosial.
Beliau mendakwa matlamat gerakan tersebut ialah untuk mengumpulkan penulis berkenaand an berbincang mengenai idea-idea baru.
"Kami percaya tindakan yang bijak berakar umbikan pemikiran yang bijak, cara berfikir yang baik. Menulis boleh 'membetulkan' cara kita berfikir," katanya.
Para pelajar di Malaysia terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang didakwa oleh sesetengah pihak mengongkong hak kebebasan pelajar.
Tahun lalu, beberapa pelajar USM telah dikenakan hukuman kerana didakwa melanggar peraturan universiti, antaranya ialah pelajar tahun akhir jurusan kewartawanan yang didenda, kerana berkempen dalam pilihanraya umum.