Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semakan kehakiman kes Anwar saman Utusan dikeluarkan

Kes saman mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas akhbar Utusan Malaysia yang sepatutnya ditetapkan untuk semakan kehakiman dikeluarkan daripada senarai hari ini pada saat akhir.

Sebelum ini, Anwar dikatakan bersedia untuk membela dirinya sendiri di Mahkamah Persekutuan buat kali pertama hari ini atas dakwaan beliau tidak diberikan akses yang memadai terhadap peguamnya.

Bekas peguamnya, Michelle Yesudas yang hadir di mahkamah hari ini untuk memastikan proses penyerahan tugas kepada Anwar berjalan lancar, berkata tidak ada pihak yang memaklumkan bahawa kes itu tidak akan didengar di mahkamah hari ini.

Menurutnya, perintah untuk membawa Anwar dari penjara Sungai Buluh ke mahkamah di Putrajaya yang sebelum ini diluluskan telah dibatalkan.

Michelle berkata, beliau juga tidak diberi sebarang butiran mengenai perkara itu juga.

"Ini agak antiklimaks," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuanhari ini.

Michelle berkata, dirinya tidak menerima sebarang makluman bahawa kes itu telah dikeluarkan dari senarai kes di mahkamah hari ini sehingga beliau tiba dan kemudiannya diberitahu oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Walaupun beliau cuba mendapatkan maklumat lanjut, katanya, kakitangan mahkamah enggan bekerjasama atas alasan dirinya tidak lagi mewakili Anwar dalam kes itu.

Semalam, naib presiden PKR, N Surendran yang juga adalah peguamnnya berkata Anwar akan mewakili dirinya sendiri dalam 16 kes mahkamah bermula esok, selepas Penjara Sungai Buloh menghadkan akses peguam terhadapnya.

Katanya, sejak Ogos 2015, peguam hanya dibenarkan bertemu Anwar sekali seminggu dan terhad kepada selama sejam sahaja berbanding dua kali seminggu dengan tempoh masa yang fleksibel yang diberikan sebelum ini.

Anwar memenangi samannya ke atas Utusan dan ketua pengarangnya, Datuk Aziz Ishak pada tahun 2013, berikutan penerbitan sebuah artikel yang berdasarkan satu wawancara dengan BBC pada tahun 2012 melaporkan beliau menyokong LBGT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual).

Mahkamah mengarahkan akhbar tersebut membayar ganti rugi sebanyak RM200,000.

Sebelum ini, Utusan yang memetik sabitan kesalahan kes liwat II yang membabitkan Anwar memohon supaya jumlah ganti rugi itu dikurangkan tetapi ini ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Hue Siew Kheng.

Utusan kemudian mengemukakan rayuannya ke mahkamah yang lebih tinggi untuk memasukkan sabitan kes liwat Anwar. Namun Mahkamah Rayuan juga menolak permohonan itu.

Justeru, kes ini kini dibawa untuk semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Malaysiakini sedang menghubungi peguam Utusan, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Wan Azmir Wan Majid untuk mendapatkan reaksi mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS