Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Kabinet Tan Sri Dr Rais Yatim berkata Tun Dr Mahathir tidak seharusnya menghentam kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia kerana katanya, ketika Mahathir memerintah, terdapat perkara yang tidak wajar turut berlaku, tetapi beliau enggan mendedahkannya kerana tidak mahu mengaibkan bekas perdana menteri itu.

“Saya sebagai seorang menteri beliau, banyak perkara berlaku tetapi kita juga harus jangan gunakan perkataan untuk menghentam, atau meletakkan sesuatu itu sehingga tidak ada nilai lagi…

“Tetapi soalan ini harus kita bandingkan dengan apa yang Tun buat dulu, sehingga hal-hal tidak wajar pernah berlaku.

“(Saya) tak nak buka rekod itu kerana tak nak aibkan, dalam Islam mengaibkan saudara lain akan aibkan kita semula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra- pelancaran IIUM Global Home Coming 2016 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Matahir yang sering menghentam kepimpinan Najib.

Semalam, Mahathir bersama pembangkang menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib.

Mengulas lanjut, Rais yang juga merupakan penasihat sosio-budaya kerajaan Malaysia turut menasihati Mahathir supaya tidak bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan Najib.

“Tun Mahathir jangan keterlaluan suruh orang turun sebagai perdana menteri. Beliau pun macam-macam peristiwa berlaku juga, saya di dalam kabinet beliau, saya hormat beliau.

“Sekarang Najib anak asuhan beliau. Najib disuruh turun, Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) juga disuruh turun juga, mesti ada caranya. Ia perlu mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Rais turut tidak menduga bahawa Mahathir akan bertindak sedemikian, justeru beliau menasihati Najib untuk berwaspada dengan kritikan yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak menduga bahawa Tun Mahathir akan melaksanakan satu taktik seperti itu, kerana selama ini beliau dikenali sebagai tidak mesra dengan (Veteran DAP) Lim Kit Siang, tidak mesra dengan PKR.

"Saya tidak fikir ini wajar. Hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan belum selesai, ada lagi dua tahun di mana kerajaan harus buat kerja rumah.

“Harus diberi peluang itu, tidak harus cakap turun kamu itu, itu tidak ada cara dalam demokratik," katanya.

Lihat Komen
ADS