Selepas menyeru penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah tidak bijak untuk ahli parlimen BN dilihat bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mungkin ini menjadi sebab mengapa beliau kini terpaksa bergaul dengan ahli parlimen Pakatan Harapan ketika menghadiri sesi pembukaan parlimen tahun ini.
Organ DAP Roketkini.com menyiarkan gambar Ahli Parlimen Pagoh itu berjalan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
Dalam gambar lain, bekas pemimpin nombor Umno itu dilihat berkongsi masa santai dengan Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP.
Lain-lain dalam gambar itu ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Mujahid Rawa (Parit Buntar), Teresa Kok (Seputeh), Teo Nie Ching (Kulai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).
Jumaat lepas, Muhyiddin antara 58 individu termasuk pembangkang dan pemimpin NGO menandatangani apa yang dikenali sebagai Deklarasi Rakyat.
Deklarasi itu diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah meletak jawatan daripada Umno sebagai protes terhadap kepimpinan Najib.
Muhyiddin, yang digantung sebagai timbalan presiden Umno pada 26 Februari kini berdepan kemungkinan dipecat.
Pelbagai pihak dalam Umno turut menggesa bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikenakan tindakan sama.
Mukhriz juga telah menandatangani perisytiharan itu.
Muhyiddin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu kerana kritikan beliau mengenai isu 1MDB dan perdana menteri.
