Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker DUN tolak usul tak percaya ke atas MB T'ganu
Diterbitkan:  Mar 8, 2016 2:10 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong sebentar tadi menolak usul undi tidak percaya bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said ke atas penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau membuat pengumuman itu sebaik sahaja sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bersambung semula pada jam 2.30 petang selepas berhenti berehat pada tengah hari.

Ahmad membentangkan usul itu mengikut Perkara 14(6) perlembagaan negeri yang membolehkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar.

Beliau juga memetik Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

“Kalau tak (undi tidak percaya)... sampai kiamat pun tak akan berlaku,” kata Ahmad Said.

Mohd Zubir bagaimanapun berkata, kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari itu dikecualikan.

“Oleh itu memandangkan undi tak percaya bukanlah memperkatakan pentadbiran jentera kerajaan negeri atau tanggungjawab MB tetapi mempersoalkan kewujudan pembentukan kerajaan negeri itu sendiri, maka saya mendapati usul undi tidak termasuk dalam ruang linkup fasal 33.

“Maka saya menolak usul ini,” kata Mohd Zubir.

Protes wakil pembangkang

Ini mencetuskan protes di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk ADUN Bandar, Azan Ismail yang mahu pengundian diadakan.

Ahmad berkata, keputusan Speaker tidak adil kerana pernah ada duluan ( precedent ) mengenai usul undi tidak percaya dengan memetik kejadian pada 1961 apabila tiga ADUN pembangkang berpaling tadah kepada BN dan membentangkan undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS.

Usul itu berjaya, dan menandakan permulaan cengkaman kuasa Umno di Terengganu dari tahun 1961 hingga 1999.

Ahmad juga menolak kebimbangan bahawa undi tidak percaya akan menyebabkan BN kehilangan Terengganu.

“BN masih boleh memerintah, BN (ada) 17 kerusi.

“Tak timbul soal pembangkang nak rampas (kuasa), saya nak rampas ke tak timbul,” katanya.

Beliau sebelum itu berhujah dengan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan Ahmad Razif yang seolah-olah menafikan jasa dan sumbangan besar beliau sewaktu menyandang jawatan menteri besar Terengganu dahulu.

Sebelum ini, Azan mengesahkan usul itu dibentangkan mengikut artikel 14(3) perlembagaan negeri pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Pembangkang akan menyokong usul ini, ia tidak boleh ditolak oleh speaker kerana mengikut perlembagaan negeri , bukan peraturan tetap .

"Perlembagaan negeri adalah lebih tinggi daripada undang-undang negeri , " katanya kepada Malaysiakini.

Pernah keluar Umno

Ahmad Said berbuat demikian semasa sesi membahas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Abidin yang menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan penggal keempat di Wisma Darul Iman semalam.

Razif memulakan tugas pada Mei 2014 sebagai menteri besar menggantikan Ahmad yang dipaksa meletakkan jawatan setelah kemelut pertukaran kepimpinan tertinggi negeri itu.

Ahmad ( gambar ) ketika itu dilapor membantah pertukaran itu, antaranya kerana ia timbul menjelang majlis perkahwinan anaknya.

Beliau malah mengambil keputusan drastik keluar Umno, tetapi menyertai kembali parti itu tidak berapa lama selepas itu.

Beliau kemudian dilihat bersama dalam beberapa acara dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terutamanya dalam isu 1MDB.

1MDB pada mulanya ditubuhkan dengan nama Terengganu Investment Authority (TIA) ketika era kepimpinan Ahmad.

Lihat Komen
ADS