Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam tidak menggalakkan umatnya untuk memecat pemimpin sebaliknya perlu 'membetulkan' mereka.

Sambil memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As-siddiq, presiden PAS itu berkata parti politik dan rakyat sendiri perlu bersabar berbanding menjatuhkan pemimpin.

"Budaya pecat pemimpin tak digalak Islam. Islam tak galak pecat pemimpin, perbetul pemimpin boleh.

"Kita kena sabar memperbetulkan pemimpin. Walaupun saya tak setuju dengan kerajaan tapi kita (PAS) sabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Katanya lagi, sebagai antara parti politik yang lama di negara ini, parti Islam itu sentiasa mengamalkan sifat sabar walaupun pernah mengalami keadaan yang 'membawa rebah' serta tidak mendapat mana-mana kerusi.

Perkara itu berbeza dengan sesetengah parti politik yang dilihat masih baru, kata Hadi tanpa menamakan mana-mana parti.

"PAS sertai arena politik sejak merdeka lagi tak seperti parti lain yang masih baru.

"Kita sabar. Kita tak ada kerusi langsung, bawa rebah, tak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Itu yang kita kena betul-betul.

"Saya tak ampu sesiapa. Orang nak sokong, sokong. Kalau tak nak, tak apa," katanya.

Politik melampau tinggalkan akhlak

Mengulas titah Agong yang menggesa ahli-ahli parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit, Hadi berkata manusia dan politik tidak dapat dipisahkan.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi masalah kini apabila sesetengah pihak mengamalkan politik melampau sehingga meninggalkan akhlak mereka.

"Kita tidak boleh berhenti berpolitik kerana ia sebahagian daripada masyarakat manusia. Masalahnya kita berpolitik melampau sehingga meninggalkan akhlak, benda yang baik. Ini tidak elok.

"(Saya tuju pada) semualah. Saya tak tuju mana-mana," katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita dan ditanya bila usul hudud akan dibentangkan di Parlimen, Hadi berkata ia tidak akan dilakukan dalam sidang kali ini.

"Tak sempat sidang ini," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS